Selasa, 1 Disember 2015 | 11:53am

Bayaran malim gunung naik kepada RM230 - Masidi


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berbual bersama sebahagian malim gunung sempena pembukaan semula aktiviti mendaki ke puncak Gunung Kinabalu hari ini.

RANAU: Kerajaan Sabah mengumumkan kadar bayaran perkhidmatan malim gunung bagi pendakian ke Gunung Kinabalu dinaikkan daripada RM150 kepada RM230 untuk sekali perjalanan, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerajaan negeri menerusi Taman-Taman Sabah yang menguruskan malim gunung turut menyediakan perlindungan insurans nyawa dan kemalangan selama 24 jam sepanjang mereka bertugas.

Katanya, ia turut membabitkan porter atau petugas membawa barangan naik ke puncak Gunung Kinabalu.

"Kita harapkan dengan pengumuman ini, ia akan memberikan lebih semangat serta membolehkan malim gunung melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik kerana kebajikan mereka diberikan perhatian," katanya ketika berucap pada majlis pelepasan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu, di sini, pagi tadi.

Seramai 135 pendaki termasuk 20 wakil media memulakan pendakian kali pertama ke puncak Gunung Kinabalu yang dibuka semula menggunakan laluan baharu selepas gempa bumi bermagnitud 5.9 mengorbankan 18 nyawa pada 5 Jun lalu.

Sementara itu, Masidi berkata kos membaik pulih serta membuat laluan baharu ke puncak Gunung Kinabalu yang mengambil masa kira-kira enam bulan, hanya membabitkan kos kurang RM200,000.

"Penambahbaikan laluan ini dibuat oleh 100 peratus penduduk tempatan termasuk renjer Taman-Taman Sabah dan malim gunung. Kos ini rendah kerana semua yang terbabit melaksanakan kerja ini kerana cintakan Gunung Kinabalu dan bukan untuk keuntungan," katanya

21 dibaca
Berita Harian X