Sabtu, 9 Januari 2016 | 12:01am

Pai salmon resepi Russia mudah disediakan

PAI ikan Salmon Coulibiac yang dikatakan sajian tradisional enak dari Russia.
PAI ikan Salmon Coulibiac yang dikatakan sajian tradisional enak dari Russia.

MENYAJIKAN sesuatu yang enak sudah tentu memikat selera, apatah lagi hidangan itu disaji dengan bentuk menarik, berkhasiat dan tidak menjemukan.

Misalnya pai ikan Salmon Coulibiac yang dikatakan sajian tradisional enak dari Russia, adalah resipi yang boleh dicuba di rumah dengan menggunakan bahan masakan yang minimum.

Menu enak

Bukan seperti pai biasa, hidangan ini mengandungi nasi, sayuran seperti bayam dan cendawan butang dan mudah disediakan walaupun sedikit mengambil masa kerana perlu menanak nasi daripada beras Basmathi.

Untuk resipi ini, Cef Junior, Sous Hotel Grand BlueWave Shah Alam, Shamsul Ghafar Shafie, menyediakan menu enak dengan cara paling mudah.

BAHAN masakan pai ikan Salmon Coulibiac.
BAHAN masakan pai ikan Salmon Coulibiac.

Bahan A (inti)

* 300 gram (g) ikan salmon

* 10g cendawan butang

* 10g bayam - dihiris halus

* 1g pasli - dihiris halus

* 1/2 biji lemon

* 1 biji telur (direbus)

Bahan B (nasi)

* 10g beras basmathi

* 10g bawang besar (dipotong dadu)

* 2g kulit kayu manis

* 1g jintan manis

* 1g buah pelaga

* 1g buah lawang

Bahan C (doh)

* 50g tepung gandum

* 10g mentega

* 1g yis

* 20 mililiter (ml) air

* 1 biji telur

* Secubit garam

Bahan D (hiasan)

* Kacang badam

CEF Junior, Sous Hotel Grand BlueWave Shah Alam, Shamsul Ghafar Shafie menunjukkan pai ikan Salmon Coulibiac.
CEF Junior, Sous Hotel Grand BlueWave Shah Alam, Shamsul Ghafar Shafie menunjukkan pai ikan Salmon Coulibiac.

Cara penyediaan bahan A - inti

1. Tumiskan bawang besar.

2. Masukkan bayam dan cendawan sehingga lembut.

3. Tambahkan garam dan lada hitam secukup rasa.

4. Perahkan lemon sebagai perasa ikan dan taburkan daun pasli.

5. Gorengkan ikan Salmon dengan sedikit minyak zaitun.

Cara penyediaan bahan B - nasi

1. Panaskan minyak di dalam periuk, masukkan jintan putih, kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan tumis sampai garing.

2. Kemudian, masukkan bawang dan tumis sampai naik bau.

3. Masukkan beras basmathi dan gaul sebelum masukkan air dan ditutup. Kecilkan api dan biarkan sehingga ia masak.

Cara penyediaan bahan C - doh

1. Campurkan tepung gandum, yis, telur, mentega dan garam dan gaulkan sampai sebati sambil dimasukkan air sedikit demi sedikit.

2. Uli sehingga kenyal dan menampakkan permukaan yang licin. Tutupkan doh ini dengan kain dan biarkan ia sejuk antara 45 minit hingga 1 jam.

Cara penyediaan Coulibiac

1. Selepas satu jam, apabila doh sudah kembang, ambil kayu penggelek dan gelekkan doh sampai nipis dan ratakan.

2. Masukkan ikan salmon dan perahkan sedikit lemon untuk menghilangkan sedikit bau ikan.

3. Kemudian lapiskan ikan dengan bahan yang telah dimasak iaitu nasi diikuti bayam dan cendawan serta diakhiri dengan telur rebus yang telah dipotong.

4. Tutupkan sepenuhnya ikan dengan doh dan pintalkan bahagian hujung doh supaya ia tak terbuka apabila dibakar.

5. Sapukan lapisan telur pada bahagian atas doh tadi dan taburkan kacang badam. Masak di dalam oven selama 20 minit.

6. Sedia untuk dihidangkan bersama-sama sos cendawan atau sos krim.

Tip - Hidangan ini melengkapi diet pemakanan dan tidak perlu disertakan makanan tambahan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X