Isnin, 1 Februari 2016 | 12:14am

Modal RM300 jadi aset RM3 juta


BERMODALKAN RM300 dengan iltizam tinggi mengubah kehidupan dari "kerja makan gaji" kepada perniagaan, ia menjadi bekalan kepada Datuk Ahmad Shazali Zahidi untuk menjadi pelopor dalam perniagaan jualan produk penyegar udara di pasaran tempatan.

Malah, langkah drastik dan berisiko yang diambil Ahmad Shazali itu membuahkan hasil apabila perniagaan di bawah nama Hot Perfumes & Air-Fresheners Industries Sdn Bhd (Hot Perfumes) kini memiliki aset berjumlah RM3 juta dalam tempoh lapan tahun beroperasi.

Beliau sendiri tidak menyangka perniagaan mengeluar dan memasarkan produk penyegar udara yang dimulakan dengan modal rendah, benar-benar mengubahnya daripada pekerja makan gaji kepada ahli perniagaan berjaya.

"Saya nekad ketika usia mencapai 40 tahun, saya tidak mahu lagi bekerja makan gaji dan mahu memulakan perniagaan. Langkah saya ini amat berisiko kerana saya berhenti kerja di syarikat berkaitan pembinaan dan hartanah dan tanpa memiliki modal besar untuk memulakan perniagaan.

PENGARAH Urusan Hot Perfumes, Datuk Ahmad Shazali Zahidi. - Foto Sairien Nafis
PENGARAH Urusan Hot Perfumes, Datuk Ahmad Shazali Zahidi. - Foto Sairien Nafis

"Alhamdulillah, hasrat saya dimakbulkan dan perjalanan perniagaan saya amat lancar tanpa cabaran besar," katanya.

Walaupun berbekalkan modal kecil, Ahmad Shazali yang memiliki Ijazah dalam Perancang Bandar dari Universiti Sains Malaysia (USM) memiliki perancangan teratur dalam perniagaannya.

Sebelum memasuki dunia perniagaan penyegar udara, beliau menjalankan kajian strategik mengenai pasaran produk berkaitan dan mendapati ia amat berpotensi untuk berkembang pesat.

"Saya dapati produk penyegar udara amat berpotensi dan tiada usahawan Bumiputera yang terbabit secara langsung dalam mengeluarkan produk ini di Malaysia. Produk ini kebanyakan di import dari Thailand.

DATUK Ahmad Shazali Zahidi menunjukkan produk penyegar udara keluaran yang dihasilkan oleh syarikatnya. - Foto Sairien Nafis
DATUK Ahmad Shazali Zahidi menunjukkan produk penyegar udara keluaran yang dihasilkan oleh syarikatnya. - Foto Sairien Nafis

"Tanpa melengah masa, saya guna modal kecil saya untuk membeli bahan mentah bagi menghasilkan produk di kilang pertama saya di Kuala Kangsar, Perak," katanya.

Ketika ini, Hot Perfumes memiliki dua kilang pengeluaran masing-masing di Ipoh, Perak dan Shah Alam, Selangor.

Menceritakan lebih terperinci mengenai permulaan perniagaannya, bapa kepada lima anak itu berkata, langkah pertama dalam pemasaran adalah dengan membina rangkaian menerusi dalam talian.

"Ia ternyata membuahkan hasil apabila produk saya mendapat permintaan memberangsangkan dengan bermula dengan satu cawangan dan berkembang kepada 80 cawangan dalam masa tujuh tahun.

ANTARA produk penyegar udara Hot Perfumes. - Foto Sairien Nafis
ANTARA produk penyegar udara Hot Perfumes. - Foto Sairien Nafis

"Perniagaan saya berkembang pesat sehingga tahun 2015 dengan pelanggan saya terdiri daripada 10,000 ejen dan stokis yang mengambil produk saya dengan bayaran tunai. Saya juga mengeluarkan pewangi badan.

"Dengan bayaran tunai yang diterima bagi setiap pesanan, saya gunanya sebagai modal pusingan. Pada ketika itu, saya amat berdisiplin dalam menguruskan kewangan. Saya tidak fikir untuk tukar kereta atau beli rumah. Apa yang penting pada tiga tahun pertama perniagaan adalah melabur semula dalam syarikat," katanya.

Bagaimanapun, mulai tahun lalu, Hot Perfumes mula berdepan cabaran dengan persaingan dalam perniagaan itu semakin kompetitif.

"Peringkat permulaan perniagaan, saya boleh katakan syarikat tidak berdepan laluan berliku. Tetapi bermula tahun lalu, ia menjadi semakin mencabar. Tahun lalu, jumlah cawangan, ejen dan stokis berkurangan sehingga 50 peratus.

ANTARA produk penyegar udara Hot Perfumes. - Foto Sairien Nafis
ANTARA produk penyegar udara Hot Perfumes. - Foto Sairien Nafis

"Ia berpunca dari lambakan produk dan ada usahawan mula menghasilkan sendiri produk penyegar udara dan pewangi badan untuk dijual di pasaran terbuka termasuk pasar malam.

"Namun, saya bernasib baik kerana memiliki perancangan rapi untuk berdepan kemungkinan itu. Saya beralih daripada perniagaan berasaskan rangkaian kepada pasaran runcit termasuk memasarkan produk ke pasar raya dan stesen minyak di seluruh negara.

Ahmad Shazali berkata, bagi mengembangkan perniagaan juga, Hot Perfumes menjalinkan kerjasama dengan Halal Industry Development Corporation (HDC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia) bagi meluaskan capaian produknya.

"Kami juga sudah memeterai perjanjian dengan enam pengedar untuk memasarkan produk Hot Perfumes di pasar raya dan stesen minyak bermula tidak lama lagi.

ANTARA produk penyegar udara Hot Perfumes. - Foto Sairien Nafis
ANTARA produk penyegar udara Hot Perfumes. - Foto Sairien Nafis

"Hot Perfumes turut menjadi pengeluar peralatan tulen (OEM) bagi pewangi badan untuk artis tempatan dan syarikat pemasaran," katanya.

Mengenai produk, Ahmad Shazali berkata, Hot Perfumes memasarkan empat produk penyegar udara dan dua pewangi badan yang dijual pada harga RM9.90 hingga RM14.90 satu pek.

"Tahun ini, sasaran jualan kami adalah 500,000 pek penyegar udara sebulan. Hot Perfumes juga akan memperkenalkan empat produk penyegar udara baharu menjelang akhir tahun ini.

"Apa yang ingin saya tekankan, produk Hot Perfumes amat berkualiti tinggi dan paling penting ia mendapat pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan dijual pada harga berpatutan berbanding produk jenama terkenal yang diimport," katanya.

TEMUBUAL bersama DATUK Ahmad Shazali Zahidi di pejabatnya di Taman Perindustrian Saujana Indah, Shah Alam. - Foto Sairien Nafis
TEMUBUAL bersama DATUK Ahmad Shazali Zahidi di pejabatnya di Taman Perindustrian Saujana Indah, Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Profil:

Nama: Datuk Ahmad Shazali Zahidi

Umur: 48 tahun

Asal: Kuala Kangsar, Perak

Jawatan: Pengarah Urusan Hot Perfumes & Air-Fresheners Industries Sdn Bhd

ends..

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X