Sabtu, 27 Februari 2016 | 10:27am

Ringgit dijangka terus kukuh minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan unjuran kenaikan harga minyak mentah global serta peningkatan minat terhadap unit tempatan itu, kata peniaga.

"Paras harga minyak mentah yang lebih tinggi akan memberi manfaat kepada negara pengeluar seperti Malaysia selain meredakan tekanan terhadap penyusutan pendapatan minyak dan gas," kata peniaga.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata ringgit dan harga minyak mentah kini dalam aliran meningkat yang jelas menepati sentimen pasaran tempatan.

"Harga minyak ternyata pulih daripada kelemahan awalnya ketika pasaran menunggu hasil mesyuarat pengeluar utamanya, bulan depan.

"Namun, minggu ini ternyata lemah bagi harga minyak berikutan komen oleh pelbagai pihak Pertubuhan Negara Pengeluar Minyak (OPEC) yang mencetuskan spekulasi bahawa pengeluar minyak tidak akan menghiraukan perjanjian menangguhkan pengeluaran sebagaimana dicadangkan Arab Saudi dan Russia," katanya.

Harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global mencecah AS$35.29 setong, iaitu naik 2.6 peratus manakala US West Texas Intermediate juga meningkat 2.8 peratus kepada AS$33.05 setong.

Nazri berkata, ringgit diunjur kembali mengukuh pada paras 4.1910 berbanding dolar AS.

Sementara itu, pakar ekonomi UOB Malaysia, Julia Goh berkata ringgit sewajarnya diniagakan pada paras lebih kukuh atas asas nilai saksama, namun faktor luaran seperti kemungkinan kenaikan kadar faedah AS dan penyederhanaan pertumbuhan di China, hanya memberi tekanan kepada unit tempatan itu.

"Kita telah mengkaji semula unjuran bagi ringgit kepada antara 4.10 dan 4.40 berbanding dolar AS dalam masa terdekat ini.

"Bagaimanapun, andai ringgit mencecah paras di bawah 4.09, ia akan mengukuh di bawah 4.05. Namun, perlu diingat, ini bergantung kepada risiko faktor luaran," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit mengukuh kepada 4.2010/2070 daripada 4.2030/2100 berbanding dolar AS pada Jumaat, terutamanya disebabkan pergerakan harga minyak mentah global.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9996/9056 daripada 2.9893/9947 pada Jumaat lepas dan lemah berbanding yen kepada 3.7236/7299 daripada 3.7168/7240.

Ringgit bagaimanapun tinggi berbanding euro kepada 4.6417/6500 daripada 4.6662/6748 dan naik berbanding pound British kepada 5.8747/8856 daripada 6.0225/2342.

- BERNAMA

Berita Harian X