Jumaat, 11 March 2016 | 6:47pm

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika hari ini setelah terdapat permintaan yang baik bagi mata wang tempatan, dipacu oleh harga saham lebih tinggi di Bursa Malaysia, kata peniaga.

Pada 5 petang, mata wang tempatan didagangkan pada 4.0860/0910 berbanding dolar AS daripada 4.0950/0030 semalam.

Seorang peniaga berkata, faktor lain yang menyebabkan pengukuhan ringgit ialah kenaikan harga minyak yang mencecah AS$40.70 setong, naik 65 sen Amerika berbanding AS$40.05 setong semalam.

Katanya, keputusan Bank Pusat Eropah (ECB) untuk menurunkan kadar faedah turut membantu prestasi ringgit.

"Pedagang mendapat semula keyakinan selepas langkah ECB menurunkan kadar faedah yang tentunya akan membantu menangani inflasi serta merangsang pertumbuhan ekonomi 19 negara yang menggunakan euro," katanya.

Beliau berkata, prestasi ringgit yang lebih baik itu juga disebabkan unjuran pasaran yang ekonomi AS tahun ini akan lemah dan ini akan mempengaruhi dolar AS dan mengurangkan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi China.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain. Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9656/9707 daripada 2.9650/9730 semalam dan naik berbanding yen kepada 3.5927/5981 daripada 3.6098/6185 semalam.

Mata wang tempatan turun berbanding pound kepada 5.8275/8366 daripada 5.8206/8332 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.5400/5471 daripada 4.4889/4985 semalam. - BERNAMA

Berita Harian X