Selasa, 22 March 2016 | 9:15pm

AEON sasar jualan sehingga 200 juta

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) berkenan menyempurnakan gimik perasmian Pusat Beli Belah AEON Mall Shah Alam di Seksyen 13, hari ini. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) dan Pengerusi Aeon Co (M) Bhd, Datuk Abdullah Mohd Yusof (kanan). - Foto BERNAMA
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) berkenan menyempurnakan gimik perasmian Pusat Beli Belah AEON Mall Shah Alam di Seksyen 13, hari ini. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) dan Pengerusi Aeon Co (M) Bhd, Datuk Abdullah Mohd Yusof (kanan). - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: AEON Co (M) Bhd (AEON) menyasarkan untuk meraih jualan sehingga RM200 juta tahun ini melalui pembukaan cawangan baharunya di Seksyen 13 di sini.

Pengarah Urusannya, Nur Qamarina Chew Abdullah, berkata pusat beli-belah berkenaan yang dibina dengan kos RM450 juta mampu menempatkan 160 penyewa, menyediakan perkhidmatan lokar simpanan sejuk beku dan 2,500 ruang parkir.

Katanya, AEON Mall Shah Alam itu yang bercirikan gabungan konsep seni bina Islam dan Jepun juga unik yang dapat menarik ramai pengunjung.

"Rekaannya diilhamkan daripada masjid negeri iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz dan empat musim di Jepun iaitu musim panas, luruh, sejuk dan bunga.

"Konsep ini diketengahkan untuk memenuhi cita rasa pengunjung yang suka bergambar dan ini membolehkan mereka bergambar dengan rekaan bangunan yang unik ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian AEON Mall Shah Alam yang disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi AEON, Datuk Abdullah Mohd Yusof dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Nur Qamarina berkata, pusat beli-belah itu juga adalah cawangan ke-31 di Malaysia dan dibina di tanah seluas 1.5 juta kaki persegi (139,350 meter persegi).

Katanya, pelbagai aktiviti kebudayaan Jepun dan tempatan turut dianjurkan sehingga 10 April ini sempena pembukaan pusat beli-belah berkenaan.

Pada majlis itu, AEON turut menyumbangkan RM130,000 kepada enam rumah kebajikan termasuk Yayasan Raja Muda Selangor, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan dan Persatuan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur Selangor.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X