Isnin, 28 March 2016 | 12:03am

77 pelajar UMT sahut cabaran


TEATER Sirih Bertepuk Pinang Menari.

PEMILIHAN naskhah Sirih Bertepuk Pinang Menari karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Noordin Hassan untuk dipentaskan sudah tentu dianggap amat mencabar dan memerlukan latihan yang kondusif apatah lagi bagi penggiat teater amatur.

Naskhah itu merangkumi pelbagai aspek penting antaranya kehidupan sosial, sejarah, agama dan spiritual, selain mengambil kira makna kewujudan dari sudut fizikal dan mistikal.

Selain itu, Sirih Bertepuk Pinang Menari juga bermain dengan falsafah fitrah yang sarat dengan perlambangan dan metafora, sekali gus menggabungkan lakonan, nyanyian serta tarian.

Bagaimanapun, cabaran itu disahut oleh 77 pelajar Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam menjayakan pementasan Sirih Bertepuk Pinang Menari dalam pementasan di Dewan Sultan Mizan UMT, Kuala Terengganu.


ANTARA babak dalam teater Sirih Bertepuk Pinang Menari.

Persembahan mengasyikkan

Sepanjang pementasan arahan Pensyarah UMT, Prof Madya Dr Rohani Yousoff itu, rata-rata pelakon menampilkan persembahan mengasyikkan, apatah lagi disemarakkan dengan penampilan pelakon veteran yang pernah mementaskannya seperti Prof Emeritus Datuk Dr Mohamed Ghouse Nasarussin dan Abu Bakar Omar.

Pementasan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Pejabat, Timbalan Naib Canselor (HEPA) dengan kerjasama Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu, turut mendapat kerjasama penggubah dan pemuzik terkenal tanah air, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah sebagai Pengarah Muzik Sirih Bertepuk Pinang Menari.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata pementasan itu adalah usaha UMT memberi ruang kepada pelajar untuk menyalurkan kreativiti, sekali gus membentuk generasi muda yang fleksibel.

"Pembabitan dalam pementasan ini bukan saja dapat menerapkan nilai disiplin kerja kepada pelajar, bahkan mendidik mereka dalam bidang seni yang turut menampilkan nama besar dalam dunia seni tanah air.

"Selain itu, ia juga membantu pihak universiti menjana pendapatan dengan jualan tiket yang diberikan bukan saja kepada pelajar, malah masyarakat luar," katanya.

Jiwai watak dalami ilmu

Sementara itu, Rohani berkata, pihaknya menjalani latihan sejak Oktober tahun lalu bagi memastikan pelakon dapat menjiwai watak dengan berkesan, selain memberikan ruang kepada krew penerbitan untuk lebih bersedia.

"Melalui pementasan ini, pelajar dapat belajar mengenai ilmu teater dengan lebih mendalam, sekali gus melahirkan lebih ramai penggiat seni yang berbakat pada masa depan," katanya.

Dalam aspek muzik, Pak Ngah berkata, pementasan itu mencabarnya kerana kali pertama membabitkan kerjasama dengan pelajar.

"Sebagai pelakon amatur, mereka memerlukan latihan yang kerap tetapi saya melihat pencapaian pelajar dalam pementasan ini cukup membanggakan dan berharap lebih banyak universiti terbabit menghasilkan persembahan sebegini," katanya.


ABU Bakar turut terbabit dalam pementasan Sirih Bertepuk Pinang Menari.

Pengalaman itu turut dikongsi oleh pelakonnya yang juga pelajar Sarjana Muda Kaunseling UMT, Muhammad Nur Shayid Shamsi yang mengakui cabaran pementasan berkenaan terutama dirinya sebagai pendatang baharu.

"Apabila diberi tanggungjawab memikul watak antogonis, iaitu Raja Muda Zahiruddin Shah dalam teater ini, saya berasa agak takut tetapi disebabkan minat mendalam dalam bidang seni, saya sentiasa menjalankan latihan sama ada ketika di kolej atau rumah," katanya.

Berita Harian X