Khamis, 21 April 2016 | 9:51pm
Pelakon, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas atau Ruhainies Farehah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Ruhainies terkilan ada pelakon tak puas hati dengannya


Pelakon, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas atau Ruhainies Farehah. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

KUALA LUMPUR: Bakat baharu yang sedang mencipta nama, Ruhainies, mengakui masih terkilan dengan tindakan seorang pelakon seangkatan yang terus bertindak seolah-olah tidak puas hati dengan kehadirannya dalam industri seni.

Bagi Ruhainies, dia masih tidak faham apabila timbul pelbagai cerita mengenai artis berkenaan yang mempertikaikan kemenangannya pada suatu majlis anugerah, baru-baru ini.

"Saya sendiri tidak tahu apa masalah dia dengan saya? Saya tidak pernah berminat untuk ambil tahu mengenai dirinya, apatah lagi berdengki.

"Paling pelik mengapa dia perlu menafikan bakat dan lakonan saya, sedangkan dirinya juga mendapat tawaran tidak kurang hebat serta mukanya sering menghiasi kaca televisyen," katanya ketika ditemui BH.

Akui Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, meskipun rasa terkilan masih bersarang di hati, apabila namanya digugurkan daripada sebuah filem hanya kerana pelakon terbabit, dia menerimanya dan menganggap ia bukan bukan rezeki.

Baginya, apa yang menyedihkan, artis wanita yang turut diheret dalam beberapa kontroversi itu terus mempertikaikan mengenai dirinya sebagai pelakon.

"Saya masih ingat dia sendiri pernah datang kepada saya dan mempersoalkan, kenapa saya dapat watak heroin sedangkan saya masih baharu berbanding dirinya yang sudah lama?

"Semua ini adalah rezeki dan takkan saya perlu tolak tawaran hanya kerana saya baharu? Apabila ditawarkan, saya yakin pengarah tahu saya mampu melakukannya," kata pelakon yang meledak namanya menerusi drama Hello Mr Perfect ini.

Finalis Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 29 ini turut berkata, beliau sendiri tidak berasakan dirinya bersaing dengan mana-mana pelakon generasi baharu sepertinya. Sebaliknya, semuanya mempunyai peluang dan rezeki masing-masing.

Baginya, jika ada persaingan sekali pun, biarlah ia berlangsung dalam suasana sihat dan bukan berpaksikan sikap iri hati.

Berita Harian X