Sabtu, 15 November 2014 | 11:07am

Ringgit dijangka didagangkan rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Dolar AS yang lebih kukuh dan prospek pertumbuhan Malaysia yang lemah, dijangkakan memberi tekanan ke atas ringgit berbanding dolar minggu depan, kata seorang peniaga.

United Overseas Bank (Malaysia) Bhd, dalam nota kajiannya, berkata ringgit yang lemah boleh menyumbang kepada persekitaran inflasi yang lebih tinggi.

"Oleh itu, kami masih melihat risiko peningkatan kadar faedah 25 mata asas pada suku pertama tahun depan," katanya.

Kadar faedah kini sebanyak 3.25 peratus.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit didagangkan rendah berbanding dolar AS pada 3.3460/3480 berbanding 3.3450/3470 pada Jumaat sebelumnya.

Pasaran tempatan sebahagian besarnya didominasi dolar sepanjang minggu, mengalihkan permintaan daripada ringgit.

Ringgit juga susut selepas pengumuman pertumbuhan 5.6 peratus KDNK Malaysia bagi tempoh suku ketiga, hari ini.

Ringgit didagangkan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.5794/5817 daripada 2.5838/5864 pada Jumaat, tinggi berbanding yen kepada 2.8768/8793 daripada 2.9034/9056, dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.2465/2503 daripada 5.2931/2976.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.1705/1740 daripada 4.1458/1493 sebelumnya. - BERNAMA

Berita Harian X