Rabu, 19 November 2014 | 8:16pm

Saham KL ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini dibantu oleh kenaikan dalam saham wajaran tinggi terpilih, sejajar dengan kebanyakan bursa saham Asia Tenggara, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.01 mata untuk ditutup pada 1,824.39 mata, selepas berlegar antara 1,818 mata dan 1,827.4 mata sepanjang hari dagangan.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 438 berbanding 357 dengan 309 kaunter tidak berubah, 588 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.1 bilion unit bernilai RM1.92 bilion daripada 1.76 bilion unit bernilai RM1.71 bilion semalam.

Menerajui kaunter untung ialah Genting yang naik 47 sen kepada RM9.37, diikuti Hong Leong Financial Group, yang meningkat 34 sen kepada RM17.98.

Kenanga Research berkata pergerakan indeks itu adalah petunjuk bahawa minat belian sudah memperoleh momentum.

"Walaupun lantunan semula, kami percaya kenaikan adalah terhad dengan dagangan berada dalam jajaran antara 1,795-1,825 mata dalam tempoh jangka pendek," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota di sini, hari ini.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 32.18 mata kepada 12,580.26 mata, Indeks FBMT100 meningkat 34.44 mata kepada 12,251.11 mata, dan FBM Ace melonjak 61.58 mata kepada 6,569.47 mata.

FBM 70 menokok 15.47 mata kepada 13,608.55 mata, Indeks FBM Emas Syariah naik 31.47 mata kepada 13,072.95 mata.

Indeks Kewangan susut 30.95 mata kepada 16,403.89 mata, Indeks Perusahaan berkurangan 8.27 mata kepada 3,280.13 mata, dan Indeks Perladangan jatuh 6.75 mata kepada 8,335.71 mata.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 1.0 sen kepada RM9.60, Tenaga Nasional meningkat 10 sen kepada RM13.74, Public Bank menokok 4.0 sen kepada RM18.34 dan Axiata melonjak 7.0 sen kepada RM7.27.

Solution Engineering naik 1.5 sen kepada 27 sen, manakala IFCA MSC susut 3.5 sen kepada 85.5 sen dan AirAsia X turun 5.5 sen kepada 64.5 sen.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.2 bilion unit bernilai RM1.66 bilion daripada 1.04 bilion unit bernilai RM1.49 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 840.12 juta saham bernilai RM258.77 juta daripada 659.31 juta saham bernilai RM209.46 juta semalam.

Waran meningkat kepada 55.28 juta unit bernilai RM5.79 juta daripada 47.44 juta unit bernilai RM4.53 juta semalam.

Barangan pengguna menyumbang 52.91 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (228.7 juta), pembinaan (58.47 juta), perdagangan dan perkhidmatan (577.26 juta), teknologi (86.27 juta), prasarana (19.87 juta), SPAC (44.96 juta), kewangan (45.62 juta), hotel (257,700), hartanah (64.84 juta), perladangan (18.9 juta), perlombongan (77,000), REITs (9.57 juta) dan dana tertutup (86,000). - BERNAMA

Berita Harian X