Khamis, 8 September 2016 | 12:07am
RUHAINIES sangat menghormati Azrel kerana aktor itu memiliki disiplin yang tinggi ketika bekerja dan banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.
RUHAINIES akui Azrel memang lelaki yang paling rapat dengannya saat ini.

Ruhainies akui rapat dengan Azrel

MESKIPUN pernah dihinggap kontroversi kala dirinya rancak membina nama sebagai pelakon, Ruhainies ternyata tenang dalam mendepani semua cabaran itu. Figura kecil molek ini kuat semangat dan tidak mudah larut dalam kisah yang dikaitkan dengan dirinya.

Bagi empunya diri, paling penting adalah sentiasa menjadi diri sendiri dan tidak perlu takut jika berada di pihak yang benar. Dia juga beruntung kerana menjadi buah hati peminat yang setia menyokong kerjaya seninya.

"Sejak memilih bidang seni sebagai periuk nasi, saya sudah pesan pada diri sendiri, apa saja kemungkinan yang terjadi paling utama ialah sabar dan hadapinya dengan tenang.

"Saya akur, sebagai artis kita tidak dapat lari daripada menjadi perhatian orang ramai dan peminat. Ia sudah memang adat," katanya ketika ditemui BH.


RUHAINIES atau nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Terbaharu, pelakon yang mula dikenali menerusi drama rantaian Hello Mr Perfect itu dikatakan semakin intim dengan aktor kacak, Azrel Ismail.

Malah, aksi mesra mereka jelas dikongsi di laman sosial masing-masing, terutama sejak kedua-duanya digandingkan sebagai pelakon utama dalam drama Menantu Ting Tong.

Saat ditanya kepada pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, mengenai sejauh mana hubungan antara mereka, gadis lemah lembut dan manja ini menguntum senyuman penuh makna.

"Saya akui Azrel memang lelaki yang paling rapat dengan saya saat ini.

"Jujurnya, Azrel memilik ciri lelaki yang berkualiti dan memberikan inspirasi kepada saya," akuinya.


AKTOR kacak, Azrel Ismail.

Ruhainies berkata, lelaki yang sangat dihormatinya itu memiliki disiplin yang tinggi ketika bekerja dan banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

Lantaran, hatinya tertarik dan selesa menghulur ikatan hubungan yang istimewa dengan Azrel, yang disifatkan sangat menyenangkan serta tidak lokek berkongsi ilmu.

"Saya tidak boleh ulas lebih, tetapi saya memang akui rapat dengan Azrel. Senang cerita, saya selesa apabila bekerja dengan beliau dan ketika kami keluar bersama-sama. Selebihnya saya tidak boleh ulas panjang," katanya tersenyum.

Ruhainies yang semakin menjadi buruan penerbit dan pengarah drama berkata, fokus utamanya adalah untuk melebarkan sayap dalam bidang lakonan dan merebut setiap peluang yang datang serta melakukannya dengan sebaik mungkin.


RUHAINIES kini sibuk di lokasi penggambaran telefilem berjudul Cik Celah Bedah.

Bagi bakat kelahiran Pulau Pinang ini, sebagai orang baharu, beliau perlu berusaha lebih keras dan memperbaiki setiap kelemahan yang ada pada diri untuk maju dalam kerjaya diceburi.

"Saya sentiasa berpesan pada diri sendiri untuk tidak mensia-siakan peluang yang diberi. Saya juga harus menjaga diri sebagai pelakon, lebih-lebih lagi saya masih setahun jagung.

"Saya perlu sedar, penerbit dan pengarah, malah peminat mempunyai ramai pilihan pelakon lain dan bakat baharu yang sentiasa silih berganti," katanya merendah diri.

Ruhainies juga kini lebih selesa ditemani ibunya ke majlis yang dihadiri kerana percaya dirinya lebih selamat apabila wanita tersayang itu berada di sini.

"Saya bertuah punya ibu yang memahami dan menyokong kerjaya seni saya, malah sanggup menemani saya. Begitu juga dengan bapa yang sentiasa menjaga anaknya ini," katanya yang turut berlakon dalam drama Bagaikan Kelip-Kelip.

Terbaharu, beliau kini sibuk di lokasi penggambaran telefilem berjudul Cik Celah Bedah.

Berita Harian X