Khamis, 15 September 2016 | 10:19am
Bursa Malaysia. - Foto BERNAMA
Bursa Malaysia. - Foto BERNAMA

Bursa Malaysia dibuka rendah sebelum melantun

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah tetapi melantun selepas itu, didorong aktiviti pemburuan saham murah, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.74 mata kepada 1,663.13, berbanding 1,661.39 penutup semalam.

Indeks itu dibuka 1.3 mata lebih rendah pada 1,660.09.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 82 berbanding 63 manakala 131 kaunter tidak berubah, 1,404 tidak didagangkan dan 19 yang lain digantung.

Sejumlah 30.0 juta saham bertukar tangan bernilai RM12.8 juta.

Peniaga berkata, bursa tempatan meningkat selari arah aliran pasaran serantau, menjejaki prestasi bearis saham AS berikutan saham berkaitan tenaga jatuh sejajar kejatuhan harga minyak.

Nikkei 225 susut 0.92 peratus, Hang Seng jatuh 0.11 peratus dan Strait Times susut 0.40 peratus.

Menurut Affin Hwang Investment Bank Bhd, harga minyak jatuh ketara disebabkan spekulasi penyusutan inventori minyak mentah AS hanyalah sementara dan bekalan akan meningkat semula disebabkan penutupan loji penapisan bagi kerja penyelenggaraan dalam minggu-minggu mendatang.

Dalam kalangan kaunter utama, Petronas Chemicals naik tujuh sen kepada RM6.70, CIMB menambah empat sen kepada RM4.74, TNB menokok enam sen kepada RM14.46 dan Axiata mengukuh tiga sen kepada RM5.34.

Dalam kalangan kaunter untung, BAT naik 90 sen kepada RM50.40, ML Global menambah 18 sen kepada 89.5 sen manakala Pos Malaysia, LBS Bina, BIMB dan Lafarge naik tujuh sen setiap satu masing-masing kepada RM3.20, RM1.79, dan RM3.97,RM7.92.

Indeks FBM EMAS menokok 9.15 mata kepada 11,715.12, FBMT 100 naik 8.54 mata kepada 11,420.91 dan FBM EMAS Syariah menambah 2.81 mata kepada 12,359.51.

FBM 70 susut 2.16 mata kepada 13,621.83, Perladangan jatuh 23.12 mata kepada 7,842.84 tetapi FBM ACE naik 2.33 mata kepada 5,189.12 sementara Kewangan mengukuh 22.93 mata kepada 14,270.71.

Indeks Perindustrian jatuh 1.25 mata kepada 3,107.98. - BERNAMA

Berita Harian X