Khamis, 20 Oktober 2016 | 10:24am

Ringgit kukuh berbanding dolar AS, disokong harga minyak

KUALA LUMPUR: Ringgit melanjutkan rali yang dicatatkannya semalam berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain berikutan minat belian yang berterusan dan pengukuhan harga minyak mentah, kata peniaga.

Pada jam 9.20 pagi, ringgit berada pada paras 4.1740/1790 berbanding penutup semalam pada paras 4.1900/1950.

Peniaga berkata, peningkatan semalaman harga minyak mentah ke paras tinggi dalam tempoh 15 bulan mengukuhkan ringgit.

Kontrak penanda aras minyak mentah global, Brent meningkat 1.9 peratus kepada AS$52.67, sementara minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) mencecah paras AS$51.93, paras tinggi sejak Julai 2015.

"Pasaran akan melihat debat Presiden AS yang ketiga dan terakhir hari ini, sebelum pilihan raya pada 8 November untuk mendapat petunjuk," katanya.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0040/0086 daripada 3.0220/0260 semalam dan meningkat berbanding yen kepada 4.0274/0334 daripada 4.0514/0578.

Ia mengukuh berbanding pound kepada 5.1278/1343 daripada 5.1499/1578 dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.5772/5835 daripada 4.6073/6132. - BERNAMA

Berita Harian X