Sabtu, 29 Oktober 2016 | 11:22am

Ringgit dijangka kukuh ekoran pemulihan harga minyak

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangkakan mengukuh minggu depan kepada paras 4.12 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), hasil daripada kemungkinan pemulihan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Harga minyak mentah Brent global dijangkakan didagangkan pada AS$55 setong berbanding AS$50.47 pada Jumaat.'

Naib Presiden/Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata mata wang tempatan akan kembali mengukuh berbanding harga semasa disebabkan sentimen positif dalam pasaran.

"Minat pelabur akan dirangsang oleh pemulihan dalam harga minyak mentah selain rundingan mengenai potensi usaha sama Petronas-Saudi Arabian Oil Co (Saudi Aramco)," katanya kepada Bernama.

Laporan menyebut bahawa syarikat minyak Malaysia itu akan membuat keputusan muktamad mengenai pelaburan berkenaan pada Disember, sama ada akan menawarkan 50 peratus kepentingan dalam Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia di Johor kepada Saudi Aramco.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan susut kepada 4.1970/1020 berbanding dolar pada 4.1830/1890.

Ringgit kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0080/0126 daripada 3.0027/0078 Jumaat lepas.

Berbanding yen, ringgit meningkat kepada 3.9865/9924 berbanding 4.0279/0341.

Ringgit juga mengukuh berbanding pound British kepada 5.0960/0037 daripada 5.1158/1248 Jumaat lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.5777/5848 berbanding 4.5595/5677. - BERNAMA

Berita Harian X