Khamis, 17 November 2016 | 12:21pm

Kapal Maritim Kuraman jadi tukun tiruan

KOTA KINABALU: Kapal Maritim (KM) Kuraman milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR), dekat sini, hari ini.

Kapal berusia lebih 52 tahun itu asalnya milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kemudian diambil alih APMM sejak penubuhan agensi berkenaan pada tahun 2007 bagi tujuan operasi serta menjaga keselamatan di perairan negara, khususnya di negeri ini.

KM Kuraman yang dinamakan sempena nama sebuah pulau di Labuan, menempuh pelbagai kejayaan dan cabaran getir sepanjang tempoh berkhidmat dengan TLDM serta Maritim Malaysia sejak 1964.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kerajaan negeri menyokong inisiatif APMM untuk kapal itu diabadikan di dasar laut dalam kawasan TTAR dan yakin ia akan kekal sebagai ikon bersejarah serta tarikan pelancongan yang baharu.

"Dengan adanya ekosistem baharu ini, ia mampu mempelbagaikan lagi kekayaan biodiversiti sedia ada di taman ini.

"Selain itu, ia akan menarik banyak hidupan marin seperti pelbagai jenis ikan dan pastinya bakal menjadi satu lagi tarikan baharu dalam aktiviti menyelam," katanya ketika berucap sempena majlis perasmian upacara penenggelaman KM Kuraman di Pulau Manukan, TTAR, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som dan Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais.

Terdahulu, Mohd Zubil berkata, walaupun sedih kerana terpaksa 'berpisah' dengan satu aset yang cukup berjasa serta penuh nilai sejarah itu, beliau gembira kerana legasi KM Kuraman diteruskan dalam memperkayakan sumber marin di TTAR.


KM Kuraman milik APMM, ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR), dekat Kota Kinabalu, hari ini.

Berita Harian X