Sabtu, 23 Ogos 2014 | 11:27am

Ringgit diniaga antara 3.15 hingga 3.20 berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan di antara 3.15 hingga 3.20 berbanding dolar AS minggu depan, dipacu oleh persekitaran luar.

Pengurus Kanan Untuk Bond dan Penyelidikan Ekonomi Hong Leong Bank, Choong Yin Pheng berkata, pasaran akan dipacu dolar AS berikutan pengeluaran data utama ekonomi AS, termasuk anggaran 'kedua' keluaran dalam negara kasar dan tempahan barangan tahan lama suku kedua.

Beliau berkata, pasaran berhati-hati menjelang ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Janet Yellen di perhimpunan tahunan pegawai bank pusat di Jackson Hole, Wyoming pada Jumaat.

Ini akan memberi panduan kepada arah pasaran minggu depan, tambah Choong.

"Pasaran minggu depan akan dipacu dolar AS manakala faktor domestik dijangka tidak memberi pengaruh besar kepada pasaran," katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, ringgit merosot kepada 3.1600/1620 bagi setiap dolar US berbanding 3.1530/1560 Jumaat lepas.

Ia juga mengakhiri minggu ini keseluruhannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.5318/5343 daripada 2.5333/5376 minggu lepas dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2418/2461 daripada 5.2636/2699.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.1974/1004 daripada 4.2197/2243 Jumaat lalu tetapi menurun berbanding yen kepada 3.0452/0486 daripada 3.0743/0778 sebelum ini.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X