Isnin, 23 Januari 2017 | 2:29pm

EcoWorld, KWSP majukan projek RM7.76b di Pulau Pinang


FOTO hiasan.

SHAH ALAM: Eco World Development Group Bhd (EW), hari ini mengumumkan ia memeterai perjanjian langganan dan pemegang saham (SSA) bersyarat dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bersama-sama membangunkan kawasan utama seluas 150 hektar di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Kawasan itu akan dimajukan syarikat usaha sama, Eco Horizon Sdn Bhd (EHSB), membabitkan dua perbandaran yang saling melengkapi antara satu sama lain, dikenali sebagai Eco Horizon dan Eco Sun.

EHSB buat masa ini adalah anak syarikat milik penuh EW.

EW dalam kenyataan di Bursa Malaysia berkata, sempena pelaksanaan SSA itu, KWSP akan melanggan empat juta saham biasa, mewakili 40 peratus kepentingan ekuiti dalam EHSB dan akan menyediakan pendahuluan kepada syarikat usaha sama itu bagi mendana cadangan pembangunan berkenaan.

EW akan terus menguasai 60 peratus dalam syarikat usaha sama itu dan Eco World Project Management Sdn Bhd (EWPM), anak syarikat milik penuh EW, akan dilantik sebagai pengurus pembangunan projek itu.

Syarikat usaha sama itu juga akan memeterai perjanjian perlesenan jenama dengan EWPM bagi membolehkan kedua-dua Eco Horizon dan Eco Sun dipasarkan sebagai pembangunan Signature EcoWorld.

Pengerusi EW, Tan Sri Liew Kee Sin, berkata ia adalah usaha sama ketiga syarikat itu dengan KWSP selepas kejayaan dua projek di Lembah Klang, iaitu Bukit Bintang City Centre dan Eco Grandeur serta Eco Business Park V di Ijok, Selangor.

Eco Horizon seluas 120 hektar terletak berhampiran persimpangan utama yang menyambungkan Jambatan Kedua Pulau Pinang ke Lebuhraya Utara Selatan berhadapan IKEA.

Eco Sun yang seluas 30 hektar terletak di Lebuhraya Bandar Cassia berhampiran Stadium Negeri Pulau Pinang.

Kombinasi nilai pembangunan kasar (GDP) kedua-dua perbandaran itu ialah sekitar RM7.76 bilion.

Berita Harian X