Selasa, 7 Februari 2017 | 10:44am

Saham tempatan rendah awal dagangan hari ini

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan kekurangan sokongan belian dan harga minyak yang rendah, kata peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada paras 1,686.62, jatuh 4.62 mata berbanding penutup semalam 1,691.24.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 119 berbanding 102, manakala 209 kaunter tidak berubah, 1,266 tidak didagangkan dan 16 lain digantung.

Jumlah dagangan harian berada pada paras 104.76 juta saham bernilai RM57.06 juta.

Peniaga berkata, harga minyak global jatuh berikutan kebimbangan bekalan minyak Amerika Syarikat (AS) yang mencukupi mengatasi kekangan output Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan peningkatan ketegangan antara AS dan Iran.

Kontrak penanda aras minyak mentah global, Brent ditutup 1.09 peratus lebih rendah kepada AS$55.72 setong, sementara minyak mentah AS jatuh 1.5 peratus kepada AS$53.01 setong.

Beliau berkata, Indeks FBM KLCI dijangka berlegar sekitar paras 1,700.

"Jika indeks penanda aras berjaya melepasi paras 1,700, potensi aliran meningkat boleh mencecah paras 1,720 dalam tempoh terdekat sementara paras sokongan pada paras 1,690/1,660," katanya.

Di kalangan saham mewah, Maybank dan Public Bank tidak berubah dengan masing-masing berada pada paras RM8.22 dan RM20.18, Tenaga Nasional merosot empat sen kepada RM13.40, Petronas Chemicals jatuh tiga sen kepada RM7.25, Maxis menyusut lima sen kepada RM6.15 manakala BAT naik 10 sen kepada RM44.60.

Di kalangan kaunter untung, F&N meningkat 18 sen kepada RM23.80, UMW dan TaWin masing-masing naik empat sen kepada RM5.50 dan 44.5 sen, sementara KSL meningkat tiga sen kepada RM1.03.

Indeks FBM Emas jatuh 21.88 mata kepada 11,880.43, Indkes FBM Emas Syariah merosot 28.51 mata kepada 12,421.77 dan Indeks FBMT 100 22.90 mata lebih rendah kepada 11,566.97.

Indeks FBM 70 naik 6.33 mata kepada 13,750.83 dan Indeks FBM Ace meningkat 8.77 mata kepada 5,188.38.

Indeks Perladangan jatuh 46.42 mata kepada 8,150.33, Indeks Perindustrian berkurangan 4.26 mata kepada 3,206.88 dan Indeks Kewangan merosot 17.02 mata kepada 14,865.32.

BERNAMA

Berita Harian X