Khamis, 9 March 2017 | 12:11am

Beramal di puncak bukit elak sesat

KUALA LUMPUR: Insiden ramai pendaki sesat dan terjatuh daripada cerun mencetus idea sekumpulan penggiat aktiviti lasak untuk memasang papan tanda kekal serta tali keselamatan di beberapa kawasan pendakian popular negara ini.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Outdoor Team 1Malaysia' (OT1M) mula menjalankan kerja amal itu sejak Oktober tahun lalu, susulan peningkatan insiden berkenaan, yang sesetengahnya meragut nyawa.

Presiden OT1M, Mohd Firdaus Jamaluddin, 21, berkata inisiatif memasang papan tanda kekal dan penggantian tali keselamatan yang usang bagi memudahkan pendaki, khususnya mereka yang baharu berjinak-jinak dalam aktiviti itu.

"Sehingga kini, OT1M sudah memasang papan tanda kekal di Bukit Sentosa atau Bukit Dua Ringgit di Rawang, Bukit Galla di Labu, Gunung Tok Wan di Semenyih, Gunung Angsi di Kuala Pilah dan Gunung Datuk di Rembau.

"Papan tanda kekal itu dipasang di beberapa persimpangan yang mengelirukan, sama ada untuk ke puncak bukit atau gunung, mahupun ke tapak permulaan. Kami juga memasang tali keselamatan di lokasi tertentu (merbahaya untuk pendakian normal) dan menggantikannya yang sudah reput.

"Kami akan meneruskan usaha ini di lokasi lain. Pada 26 Mac ini, geng OT1M akan ke Bukit Dua Ringgit sekali lagi bagi memasang papan tanda tambahan, disusuli aktiviti kebajikan di Rumah Warga Emas Baitul Rahmah," katanya ketika ditemui BH Plus.

Mohd Firdaus berkata, kos untuk memasang kemudahan itu adalah inisiatif geng OT1M yang mengumpul dana setiap kali mengadakan perjumpaan sebagai persiapan untuk melakukan pendakian.

"Biasanya sebahagian wang untuk persiapan itu, kami ketepikan untuk membeli kelengkapan, peralatan dan tali. Manalah tahu, ketika melakukan pendakian didapati ada persimpangan laluan tiada tanda arah, OT1M akan memasangnya," katanya.

PRESIDEN OT1M, Mohd Firdaus Jamaluddin. - Foto Saddam Yusoff

PESERTA OT1M menyediakan makanan sebelum memasang papan tanda dan tali keselamatan di puncak Bukit Batu Chondong. - Foto Saddam Yusoff

Pada 26 Februari lalu, penulis berkesempatan menyertai kumpulan pendaki OT1M memasang papan tanda kekal dan memasang tali keselamatan baharu di Bukit Batu Chondong di Kemensah, dekat sini.

Bukit setinggi 260 meter itu adalah satu daripada enam bukit yang membentuk Bukit Tabur, iaitu lokasi yang kerap terjadinya pelbagai insiden kecelakaan, termasuklah yang meragut nyawa.

Diketuai Penasihat OT1M, Mohd Safar Hashim bersama 21 peserta lain termasuk wartawan dan jurugambar BH, pendakian bermula pada jam 6.30 pagi dalam keadaan hujan.

Walaupun kelihatan mudah, namun pemasangan papan tanda kekal dan mengganti tali keselamatan itu begitu mencabar, apabila pendakian Bukit Batu Chondong yang kebiasaannya hanya mengambil masa 20 minit, menjadi dua jam.

Ditambah pula bebanan yang berat serta pelbagai peralatan terpaksa dipikul beberapa ahli OT1M dengan meredah laluan licin dan berair.

Sementara itu, Mohd Safar, 32, yang terbabit dalam aktiviti pendakian sejak 13 tahun lalu berkata, kebanyakan kes sesat berlaku apabila pendaki terpisah daripada kumpulan ketika buang air, jatuh daripada lereng bukit atau tidak 'menjaga mulut'.

PENASIHAT OT1M, Mohd Safar Hashim. - Foto Saddam Yusoff

PAPAN tanda kekal yang dipasang peserta OT1M di puncak Bukit Batu Chondong. - Foto Saddam Yusoff

Pendaki dilarang cakap besar

"Aktiviti pendakian kini semakin popular di kalangan belia, namun kes sesat dan terjatuh daripada gunung atau bukit pun meningkat kerana kurangnya pengetahuan daripada aspek keselamatan, selain kecuaian pendaki itu sendiri," katanya.

Bekas tentera itu berkata, peranan guider (orang paling hadapan) dan sweeper (orang paling belakang) dalam pendakian berkumpulan sangat penting bagi memastikan semua pendaki tiba ke puncak bukit atau gunung serta turun dengan selamat.

"Antara tips bagi pendaki mengenal pasti laluan dalam hutan adalah dengan melihat pada ketinggiannya, iaitu paras dada ke bawah serta banyak dahan yang patah adalah laluan manusia, manakala paras pinggang ke bawah kebiasaannya laluan binatang.

"Petua Orang Asli juga boleh dikenakan, antaranya jika ada binatang buas seperti harimau ada berhampiran iaitu sekitar lima hingga 10 meter, akan ada bau hamis.

"Mulut juga jangan celupar seperti menyebut perkataan yang tidak sepatutnya seperti sesat. Orang dahulu akan gantikan nama haiwan buas seperti orang kuat untuk gajah, Maybank untuk harimau dan tomoi untuk babi," katanya.

INFO

Tips keselamatan untuk pendaki:

  • Beg bersaiz 40 liter untuk perempuan, 50 hingga 60 liter untuk lelaki.
  • Baju tidak terlalu besar jenis dry fit, mudah serap peluh.
  • Seluar pendakian atau jenis elastik, jangan guna jeans.
  • Kasut bergantung pada lokasi, jenis getah sesuai untuk kawasan hutan, tali diikat ketat.
  • Stokin tebal.
PESERTA OT1M memanjat Bukit Batu Chondong ketika program memasang papan tanda kekal dan tali keselamatan di puncak bukit itu. - Foto Saddam Yusoff
PEMANDANGAN di puncak Bukit Batu Chondong. - Foto Saddam Yusoff
PESERTA OT1M memasang papan tanda kekal di puncak Bukit Batu Chondong. - Foto Saddam Yusoff
PESERTA OT1M ketika memanjat Bukit Batu Chondong. - Foto Saddam Yusoff
PESERTA OT1M bergambar kenangan selepas memasang papan tanda kekal dan tali keselamatan di puncak Bukit Batu Chondong. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X