Rabu, 15 March 2017 | 3:19pm

Tabung Rayuan Kecemasan Somalia dilancar

KUALA LUMPUR: Tabung Rayuan Kecemasan Somalia dilancar sebentar tadi, bagi membantu lebih enam juta penduduk negara Afrika itu yang berdepan krisis kemarau dan kebuluran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menyumbang AS$100,000 melalui Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) sebagai dana permulaan kepada tabung khas itu.

Tabung khas itu dilancarkan selepas rombongan delegasi Somalia diketuai Timbalan Perdana Menterinya, Mohamed Omar Arte berkunjung ke Malaysia, untuk meminta sokongan dan bantuan bagi negara berdepan krisis kemarau itu.

Cek sumbangan dana permulaan itu diserahkan Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Mohamed, disaksikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Ia turut disaksikan Duta Somalia ke Malaysia, Abukar Abdi Osman; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Azmi Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyaksikan penyerahan wang sumbangan daripada Presiden Kelab Putra 1 Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Timbalan Perdana Menteri Somalia, Mohamed Omar Arte (tiga dari kanan) sempena majlis perasmian 'Somalia Emergency Appeal Fund' di Menara HLA. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid (empat dari kiri). - Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak bersama Presiden Kelab Putra 1 Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hadir sempena majlis perasmian 'Somalia Emergency Appeal Fund' di Menara HLA. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid dan Ketua Pengarang BH, Datuk Mahfar Ali. - Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Mohamed berkata, ketika ini, seorang daripada dua rakyat Somalia berdepan krisis, dengan hampir sejuta kanak-kanak mengalami masalah kekurangan zat atau malnutrisi.

"Ketika ini, mengatasi kebuluran adalah matlamat utama kami (Kerajaan Somalia)," katanya sambil berterima kasih dengan sokongan Malaysia melalui penubuhan tabung khas itu.

Berita Harian X