Rabu, 17 Mei 2017 | 6:27pm

Panasonic raikan promosi 'Sehati Beraya'

Kuala Lumpur: Panasonic Malaysia memeriahkan sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, dengan menganjurkan promosi 'Sehati Beraya' bermula Selasa lalu sehingga 30 Jun ini.

Panasonic meraikan pengalaman Aidilfitri istimewa pengguna dengan promosi pakej Panasonic 'Kombo Sehati', Pembelian-dengan-Pembelian serta hadiah percuma bagi pembelian produk terpilih.

Cheng Chee Chung
Cheng Chee Chung

Pengarah Urusan Panasonic Malaysia Sdn Bhd, Cheng Chee Chung, berkata sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini akan menyaksikan aktiviti kempen pengguna besar-besaran dan pengukuhan jenama di pasaran tempatan.

Katanya, RM5 juta diperuntukkan untuk pengiklanan dan promosi sepanjang tempoh kempen, sebahagiannya turut membabitkan kerjasama dengan Media Prima dan platform di bawah konglomerat media terbesar itu.

"Kerjasama dengan kumpulan Media Prima terutama drama bersiri Panasonic Ketupat Rendang Brownies Coklat, bertujuan meningkatkan penembusan Panasonic ke pasaran terbesar isi rumah Malaysia yang majoritinya Melayu.

"Selain drama bersiri ini, Panasonic turut mendekati pengguna menerusi pelbagai saluran kandungan berjenama, pengiklanan di LRT dan interaksi pelbagai platform Media Prima seperti The New Straits Times Press, Big Tree, stesen radio dan Tonton.

"Bahkan promosi 'Sehati Beraya' akan turut memanfaatkan daya tarikan barisan pelakon drama bersiri itu dengan perlantikan duta rasmi promosi itu iaitu Rita Rudaini dan Khatijah," katanya kepada media di Kuala Lumpur, semalam.

Drama bersiri Panasonic Ketupat Rendang Brownies Coklat akan disiarkan di saluran TV3 setiap Khamis pada jam 6 petang dari 25 Mei hingga 15 Jun; manakala siaran ulangan dari 3 hingga 6 Julai Isnin hingga Khamis pada jam 5.35 petang.

Sementara itu, Chee Chung berkata, impak penurunan ketara nilai ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) akan memungkinkan kenaikan harga antara lima hingga 10 peratus bagi produk terpilihnya bermula Julai ini

Katanya, kesan kenaikan harga hanya berlaku kepada produk peti ais, mesin basuh baju dan produk kecantikan Panasonic yang diimport dari kilang di luar negara menggunakan dagangan mata wang Dolar AS.

"Sebenarnya bagi tahun kewangan semasa 2017/2018 yang bermula April lalu, impak kelemahan ringgit lebih terurus kerana pelan perniagaan kami mengikut kedudukan ringgit ketika ini.

"Bahkan jika ringgit terus jatuh sekali pun dijangka tidak memberi impak besar kepada Panasonic Malaysia kerana 64 peratus daripada produk kami dikeluarkan kilang tempatan.

"Kerana itu kami yakin dapat mengekalkan momentum pertumbuhan jualan lima peratus bagi tahun kewangan semasa kali ini, berbanding RM1.72 bilion diperoleh tahun kewangan 2016/2017 lalu," katanya.

Info

Promosi 'Sehati Beraya'

16 Mei - 30 Jun 2017.

- Promosi pakej Panasonic Kombo Sehati

- Pembelian-dengan-Pembelian

- Hadiah percuma pembelian produk terpilih Panasonic

Dapatkan maklumat lanjut tawaran di www.panasonic.com.my

Berita Harian X