Selasa, 20 Jun 2017 | 11:10am

Fasa pertama projek ikonik, BBCC bermula


GAMBARAN artis.

KUALA LUMPUR: Pembangunan bersepadu projek ikonik, Bukit Bintang City Centre (BBCC) yang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8.7 bilion memulakan fasa pertama pembinaannya hari ini.

Ia membabitkan pembinaan komponen utama BBCC iaitu Mitsui Shopping Park LaLaport Kuala Lumpur dengan anggaran GDV RM1.6 bilion.

Pengerusi UDA Holdings Bhd dan BBCC Development Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, berkata fasa pertama pembinaan itu dijangka siap pada Disember 2020 yang mana merangkumi pusat beli belah, hab hiburan, hotel empat bintang, pejabat berstrata dan dua blok pangsapuri khidmat.

"Pembinaan komponen itu merangkumi kira-kira 50 peratus keseluruhan kawasan pembangunan BBCC," katanya pada majlis pecah tanah BBCC dan Mitsui Shopping Park LaLaport.

Majlis berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pada Oktober tahun lalu, Konsortium BBCC Development memeterai perjanjian usaha sama dengan konglomerat hartanah terbesar Jepun, Mitsui Fudosan Asia bagi pembentukan, pemilikan, pengurusan dan pengoperasian sebuah syarikat usaha sama (JVCo) bagi membangun serta menguruskan pusat beli belah (BBCC). 

Perjanjian itu menyaksikan Mitsui Fudosan Asia memiliki 50 peratus pegangan saham, manakala bakinya dimiliki pemegang saham BBCC Development Sdn Bhd yang terdiri daripada UDA Holdings Bhd, Eco World Development Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

INFO:

- BBCC merangkumi kawasan seluas kira-kira tujuh hektar dengan keseluruhan kawasan binaan 6.7 juta kaki persegi.

- Projek BBCC dijalankan oleh konsortium UDA Holdings, Eco World dan KWSP.

Berita Harian X