Rabu, 4 Februari 2015 | 2:05pm

UDA, EcoWorld, KWSP labur RM8b pembangunan semula Penjara Pudu

[email protected]

KUALA LUMPUR: UDA Holdings Bhd (UDA), Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeterai perjanjian pelaburan bernilai RM8 bilion untuk pembangunan semula tapak bekas Penjara Pudu yang terletak di tengah-tengah kawasan Segi Tiga Emas Kuala Lumpur.

Bakal dikenali sebagai Bukit Bintang City Centre (BBCC), projek itu akan dilaksanakan oleh BBCC Development Sdn Bhd yang mana pemegang sahamnya adalah UDA (40 peratus), EcoWorld (40 peratus), dan KWSP (20 peratus).

Kerja pembangunan BBCC dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

BBCC kini bersedia menjadi pemangkin kepada transformasi kawasan Bukit Bintang kerana tapak pajakan berkeluasan 19.4 ekar itu terletak di lokasi strategik di persimpangan Jalan Pudu dan Jalan Hang Tuah. Ia juga terletak berhampiran beberapa pusat perniagaan popular di Kuala Lumpur termasuk Pavilion KL, Lot 10, Sg Wang Plaza, Berjaya Times Square dan Plaza Low Yat.

Akses melalui pengangkutan awam untuk ke BBCC juga telah tersedia kerana ia terletak bersebelahan dengan hab pengangkutan awam sedia ada stesen transit aliran ringan Hang Tuah dan stesen monorel. Selain itu, stesen MRT untuk menghubungkan kawasan lain di Lembah Klang juga sedang dibina kira-kira 500 meter dari BBCC.

Berdasarkan pelan cadangan bertaraf dunia, pembangunan semula BBCC bakal menyaksikan kawasan itu berubah menjadi kawasan pembangunan bercampur bagi kediaman dan komersial merangkumi pejabat strata, menara pejabat, hotel dan kediaman servis serta Pusat Gaya Hidup yang menempatkan Grand Bazaar Malaysia, sebuah pusat beli-belah, F & B dan pusat hiburan.

Pengerusi UDA, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata pembangunan semula BBCC adalah sejajar dengan Program Transformasi Ekonomi Kerajaan (ETP) untuk terus membangunkan Greater Kuala Lumpur sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

"Pelaburan strategik ini akan memastikan kejayaan ekonomi seterusnya kerancakan komersial kepada pembangunan semula ini dan menjadikannya sebagai satu projek ikonik yang boleh dibanggakan rakyat Malaysia.

"UDA akan kekal sebagai pemilik tanah dan menyerahkan hak pembangunan kepada jentera tujuan khas (SPV), BBCC Development Sdn Bhd ini. UDA berharap inisiatif BBCC ini akan menjadi sama seperti projek berprofil tinggi pembangunan Stesen Janakuasa Battersea di London yang membawa jenama yang diyakini, ditambah pula dengan keupayaan kewangan yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah, berkata BBCC memberi peluang baik kepada syarikat untuk bekerjasama dengan UDA dan KWSP bagi membangunkan projek penjanaan semula bandar raya dalam bandar yang menarik, berskala besar dan bersepadu di Kuala Lumpur.

"Projek itu juga akan meluaskan lagi spektrum tawaran produk Kumpulan sedia ada seterusnya membolehkan kami mengembangkan pasaran bagi memenuhi keperluan pelanggan berpotensi," katanya.

Dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan mencecah RM8 bilion, BBCC menawarkan peluang yang luas kepada warga Malaysia dan antarabangsa. Selain menarik minat ramai peserta tempatan dalam pembangunan yang dicadangkan, cadangan awal juga diterima daripada beberapa peserta global yang berminat untuk mengambil bahagian dalam pelbagai komponen projek penjanaan semula itu.

Ia adalah satu permulaan yang menggalakkan selaras dengan wawasan untuk menjadikan Bukit Bintang City Centre sebagai hab beli-belah dan hiburan di Kuala Lumpur, yang mampu menarik minat perniagaan tempatan dan antarabangsa serta pelawat, pelancong dan juga penduduk tempatan.

Pembangunan semula daerah Bukit Bintang dengan kehadiran Bukit Bintang City Centre di tengah-tengahnya akan menjana perubahan positif kepada sektor komersial dan ekonomi masyarakat setempat seterusnya menyumbang ke arah merealisasikan wawasan kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia menjelang 2020.

Berita Harian X