Khamis, 5 Februari 2015 | 10:45am

Pembangunan semula Penjara Pudu naikkan saham Eco World

KUALA LUMPUR: Saham Eco World Development Group Bhd naik empat sen kepada RM2.33 pada 9.38 pagi, dirangsang oleh projek terbaharu kumpulan itu, pembangunan semula tapak bekas Penjara Pudu.

Projek itu dengan nilai pembangunan kasar RM8 bilion, Bukit Bintang City Centre (BBCC), akan dibangunkan bersama oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta UDA Holdings Bhd, menerusi sebuah konsortium yang akan ditubuhkan kelak.

Cadangan pembangunan bercampur BBCC itu akan mengandungi gedung runcit, blok hiburan, pejabat strata, menara pejabat, sebuah hotel dan kediaman khidmat.

Dalam notanya hari ini, AllianceDBS Research berkata projek itu diunjurkan berjaya dan mungkin menawarkan peningkatan besar pada masa akan datang berdasarkan tempoh pembangunannya yang panjang.

"Cadangan awal pengambilalihan oleh ECW yang berjumlah RM106 juta, akan dibiayai menerusi pinjaman yang mungkin menaikkan nisbah hutang pada kadar 1.1 kali.

"Bagaimanapun pembayaran berikutnya akan dibuat dalam beberapa bahagian yang akan membantu mengurangkan beban ECW," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas ECW dengan harga sasaran pada RM3.00.

Saham ECW meningkat 3.31 peratus pagi ini berbanding penutupan semalam pada RM2.29, dengan 675,100 saham bertukar tangan. - BERNAMA

Berita Harian X