Rabu, 25 Februari 2015 | 1:51pm

Saham KL rendah menjelang tengah hari

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi lebih rendah hari ini, kata peniaga.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 8.81 mata kepada 1,809.97 disebabkan kerugian kaunter saham mewah terpilih, selepas bergerak antara 1,818.35 dan 1,808.90 sepanjang sesi.

Kerugian saham komponen indeks komposit diterajui oleh Felda Global Ventures (FGV) yang jatuh 32 sen kepada RM2.62, manakala CIMB susut 10 sen kepada RM5.92 dan Genting turun 19 sen kepada RM8.84.

Keseluruhannya kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 390 berbanding 283 dengan 308 kaunter tidak berubah, 784 tidak diniagakan dan 35 lagi digantung.

Seorang peniaga ekuiti kanan berkata secara idealnya bursa tempatan sepatutnya naik hari ini seiring kebanyakan pasaran serantau dan juga kenaikan semalaman di Wall Street. Ini susulan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS Janet Yellen bahawa agensi itu tidak akan tergesa-gesa menaikkan kadar faedah.

Di pasaran serantau, Nikkei 225 Jepun meningkat 0.14 peratus kepada 18,629.93, Indeks Straits Times Singapura menokok 0.28 peratus kepada 3,447.87 dan Indeks KOSPI Korea Selatan naik 0.71 peratus kepada 1,990.11.

Pada papan skor tempatan, Indeks FBM Emas jatuh 48.69 mata kepada 12,483.79, Indeks FBMT100 susut 52.17 mata kepada 12,161.60, dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 32.94 mata kepada 13,039.80. FBM 70 kurang 30.99 mata kepada 13,540.34 dan FBM ACE turun 0.01 mata kepada 6,610.29.

Indeks Kewangan susut 52.31 mata kepada 15,828.27, manakala Indeks Perladangan jatuh 76.51 mata kepada 8,042.76, namun Indeks Perusahaan menokok 5.17 mata kepada 3,310.48. Jumlah dagangan di Bursa Malaysia setakat tengah hari sebanyak 893.05 juta saham bernilai RM704.58 juta.

Antara saham paling aktif ialah Asia Bioenergy dan Hubline yang masing-masing menyusut setengah sen kepada 12 sen dan 2.5 sen, Sumatec menokok setengah sen kepada 21.5 sen, Managepay bertambah dua sen kepada 23.5 sen dan Wintoni meningkat satu sen kepada 16 sen. - BERNAMA

Berita Harian X