Selasa, 19 Mei 2015 | 9:44pm

MWWF sasar tiga emas Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) menyasarkan tiga pingat emas pada Sukan SEA Singapura yang dijadualkan dari 5 hingga 16 Jun ini.

MWWF dalam kenyataan hari ini, berkata sasaran itu adalah berdasarkan kemunculan semula bekas pemandu Formula Satu (F1) dan atlet ski air berpengalaman, Alex Yoong yang menyuntik semangat kepada pasukan negara.

Walaupun hasratnya untuk kembali memperkuatkan skuad negara tidak begitu lancar berikutan kecederaan yang dialaminya, Alex berkata beliau bersedia dan berada pada prestasi terbaik bagi menghadapi temasya tersebut.

"Persediaan (menghadapi Sukan SEA) sungguh mencabar kerana agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan latihan serta pemulihan kecederaan pada lutut saya.

"Saya mengalami kecederaan di lutut kiri semasa Tahun Baharu Cina," kata atlet berusia 39 tahun itu.

Alex meraih pingat emas keseluruhan lelaki dan perak dalam acara 'jump and slalom' pada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia.

"Berita baik ialah dengan bantuan Institut Sukan Negara (ISN), kaki saya semakin kuat dan saya sedia 100 peratus menghadapi temasya di Singapura dan ia sentiasa menjadi keseronokan untuk mewakili Malaysia," kata Alex.

Sementara itu, berikutan keputusan Philippa Yoong yang memenangi dua pingat emas pada Sukan SEA 2011 untuk bersara dalam sukan berkenaan pada 2013, harapan utama pasukan Malaysia untuk meraih dua emas pada temasya kali ini, terletak di bahu atlet berusia 11 tahun, Aaliyah Yoong Hanifah

Aaliyah muncul pemenang pingat emas termuda dalam sejarah Sukan SEA apabila mengungguli acara 'tricks' empat tahun lalu di Palembang.

Namun, kebimbangan pasukan negara sekarang ialah terhadap prospek pingat perak dalam acara 'tricks' wanita, Arianna Chow, 13, yang belum pulih daripada kecederaan pada lengan.

"Jika doktor ISN tidak memperakui beliau cukup bersedia, kita tiada pilihan selain menggugurkan Arianna daripada menyertai Sukan SEA," kata pengurus pasukan Hanifah Yoong.

Pasukan negara turut diperkuatkan oleh Syahir Nasir, 16, Aiden Yoong Hanifah, 9, Adam Yoong Hanifah, 7, Jeff Oh, 15, dan Cheah Hsu Ann, 26. - BERNAMA

Berita Harian X