Ahad, 7 Jun 2015 | 5:53pm

UDA Holdings sasar antara pemaju hartanah utama menjelang 2020

KUALA NERUS: UDA Holdings Berhad, syarikat pembangunan hartanah, menyasar melaksanakan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion menjelang tahun depan berdasarkan pelan lima tahun syarikat itu.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA, Datuk Mohamed Marzuk Mohamed Basir, berkata sasaran itu dibuat berikutan pembangunan beberapa projek berskala besar di seluruh negara, termasuk pembinaan semula Penjara Pudu seluas kira-kira lapan hektar.

Selain itu, katanya, UDA Holdings turut menyasarkan untuk berada dalam kelompok 10 pemaju hartanah utama negara dalam tempoh lima tahun lagi.

"UDA telah melakukan transformasi dalam dua tahun kebelakangan ini. Tahun lepas, kita telah berjaya memperoleh GDV lebih RM500 juta daripada projek dan saya yakin ia akan meningkat 30 peratus menjelang hujung tahun ini.

"Pada 2016, Insya-Allah kita mampu capai GDV seperti mana yang disasarkan," katanya ketika ditemui pada karnival perumahan 'UDA East Contempo Property Show' di laman Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR) Tok Jembal, di sini.

Menurutnya, projek hartanah UDA yang menyumbang kepada nilai berkenaan ialah menerusi projek di Kuala Lumpur akan dikendalikan anak syarikat UDA Holdings iaitu UDA Land (Central) Sdn Bhd mengendalikan projek perumahan di Bandar Tun Hussein Onn Cheras; UDA Land North (Bertam Pulau Pinang dan Kangar Perlis); UDA Land South (Bandar Baru UDA Johor Bahru) dan UDA Land East (Kemaman dan Kuala Terengganu).

Beberapa projek berskala besar lain UDA termasuk Projek Bukit Bintang City Centre (BBCC), iaitu pembangunan komersial di bekas tapak Penjara Pudu.

Menerusi pameran itu, Mohamed Marzuk berkata UDA Land East Sdn Bhd dijadual akan melancarkan fasa ketiga projek perumahan banglo berjumlah 23 unit di Sarai Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR) di Tok Jembal di sini penghujung September ini.

Katanya, banglo Sarai KTGR fasa ketiga berkonsepkan moden kontemporari itu hanya akan dibina banglo dua tingkat berbanding banglo tiga tingkat pada fasa kedua.

"Keluasan banglo fasa seterusnya dalam Sarai KTGR akan dikurangkan sedikit, walaupun saiz tanah sama dan dijual RM600,000 seunit berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu," katanya.

Mengenai tanah dalam Sarai KTGR, beliau berkata kira-kira 25 ekar boleh dibangunkan dengan projek perumahan daripada keseluruhan 280 ekar.

Kawasan seluas 160 ekar telah digunakan bagi resort golf manakala 95 ekar projek perumahan fasa pertama dan kedua.

UDA adalah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Kewangan.

- BERNAMA

Berita Harian X