Rabu, 29 Julai 2015 | 12:00am
MOIDIN Sompot. - Foto Edmund Samunting

JBP latih malim gunung jadi Pegawai Bomba Bantuan MOSAR


MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Abdul Rahman Dahlan (dua kanan) sambil disaksikan oleh ADUN Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam (kanan), Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Mohammad Mentek (tiga dari kanan), Ketua Pengarah Bomba Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim (dua kiri) dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Nordin Pauzi (kiri) menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada wakil Persatuan Malim Gunung pada pelancaran Pegawai Bomba Bantuan MOSAR di Balai Bomba dan Penyelamat Ranau. - Foto Edmund Samunting

MALIM gunung yang terpilih menjadi Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR), sudah bersedia menggalas tugas baharu lebih mencabar dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Gunung Kinabalu.

Pasukan baharu khas untuk melaksanakan operasi awal SAR di Gunung Kinabalu itu diwujudkan susulan gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter mengorbankan 18 nyawa, selain menyebabkan kira-kira 200 orang terkandas di puncak tertinggi Asia Tenggara itu pada 5 Jun lalu.

Malim gunung dari Bundu Tuhan, Kundasang, Moidin Sompot, 57, berkata walaupun sudah berumur, beliau sedia melaksanakan tugas sebagai PBB MOSAR sejajar tanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan pendaki.

"Saya akan menyertai setiap latihan dikendalikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memantapkan kemahiran menyelamat di kawasan gunung. Saya yakin mampu melaksanakan tugas baharu ini selagi masih mampu mendaki.

"Pengalaman selama 33 tahun menjadi malim gunung akan saya manfaatkan untuk melaksanakan tugas sebagai PBB MOSAR," katanya ditemui selepas Majlis Pelancaran PBB MOSAR dan penghargaan bomba di Balai Bomba Ranau, Sabah, baru-baru ini.

Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, itu menyaksikan 20 malim gunung dilantik sebagai perintis pasukan PBB MOSAR yang pertama diwujudkan di negara ini.

Bersemangat untuk terus berbakti

Moidin berkata, pengalamannya sebagai antara individu yang terperangkap di puncak Gunung Kinabalu ketika gempa bumi pada jam 7.15 pagi itu menjadi penguat semangat untuknya menyertai PBB MOSAR dengan harapan menimba lebih banyak kemahiran dalam aspek SAR.

Menceritakan semula suasana tegang dan mencemaskan di puncak Gunung Kinabalu ketika gempa bumi berskala sederhana itu, Moidin berkata, ketika itu beliau ditugaskan membawa empat pendaki dengan dua dari Denmark dan masing-masing seorang dari China serta Jepun.

"Ketika kejadian, kami berada di Kilometer 7 berhampiran puncak. Sejurus gempa, batu besar dari puncak bergolek di kawasan laluan menyebabkan pendaki dari Jepun yang berpegang pada tali tidak sempat menyelamatkan diri.

"Kira-kira 15 minit selepas gegaran pertama, saya memapah seorang pendaki wanita dari Denmark yang cedera sambil mengiringi dua lagi pendaki bergegas turun kerana mahu segera keluar dari gunung dan kami sampai di Pondok Timpohon di kaki gunung pada jam 1.30 tengah hari," katanya.

Pengalaman itu, katanya, adalah paling ngeri dan mencabar sejak menjadi malim gunung dari tahun 1982, tetapi tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada pendaki dan menyediakan bantuan kecemasan menerusi tugas baharu sebagai anggota PBB MOSAR.


ABDUL Rahman (kanan) sambil disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementeriannya Datuk Mohammad Mentek (dua dari kanan) , Ketua Pengarah Bomba Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim (dua dari kiri) dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Pauzi (kiri) ketika menyampaikan sijil pelantikan kepada Malim Gunung Mohd Abd Razak Salleh, pada pelancaran Pegawai Bomba Bantuan MOSAR di Balai Bomba dan Penyelamat Ranau. - Foto Edmund Samunting

Memantapkan keupayaan, kecekapan

Malim gunung dari Kampung Kepayan Baru, Tambunan, Mohd Abdul Razak Salleh, 32, berkata pelantikan malim sebagai PBB MOSAR memantapkan lagi keupayaan melaksanakan kerja SAR yang menjadi sebahagian tugas tidak rasmi mereka sebelum ini.

"Sebelum ini, malim hanya mengambil inisiatif sendiri memantapkan pengetahuan dalam kerja SAR menerusi bacaan dan membawa peti pertolongan cemas sendiri untuk merawat pendaki jika berlaku kemalangan.

"Dengan adanya latihan disediakan JBPM, saya percaya tugas kami lebih berkesan dan diyakini pendaki terutama jika berdepan bencana seperti gempa bumi," katanya.

Ketika kejadian itu, beliau ditugaskan membantu pasukan penyelamat untuk melaksanakan SAR di Gunung Kinabalu pada hari kedua dan ketiga operasi.

Katanya, pelantikan malim sebagai PBB MOSAR sedikit sebanyak meringankan beban mereka sepanjang ketiadaan kerja akibat penutupan Gunung Kinabalu oleh Taman-Taman Sabah untuk kerja pembaikan laluan pendakian.

Balai Ranau Pusat Kecemerlangan MOSAR

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, seramai 100 anggota PBB MOSAR dilantik secara berperingkat dengan 20 orang sebagai perintis akan menjalani latihan asas kebombaan dan aspek menyelamat di kawasan gunung.

Katanya, mereka akan didedahkan dengan aspek menyelamat menggunakan tali dan di sudut tinggi, pengurusan gempa bumi, kebakaran hutan, pengosongan gunung, penyediaan pertolongan cemas dan bekerja dengan helikopter.

Elaun RM500 sebulan

"Konsep gerak kerja dan penjadualan tugas akan disusun sebaik mungkin bagi memastikan ada 14 anggota PBB MOSAR di laluan pendakian Gunung Kinabalu dan tempat rehat di Laban Rata sepanjang masa yang akan bertindak jika berlaku kecemasan.

"Anggota PBB MOSAR yang menghadiri operasi dan latihan dibayar RM6 sejam atau kira-kira RM500 sebulan, sekali gus membantu menambahkan lagi pendapatan mereka, selain aktiviti pemaliman," katanya.

Abdul Rahman berkata, JBPM turut menjadikan Balai Bomba Ranau sebagai Pusat Kecemerlangan MOSAR untuk dijadikan rujukan balai lain dari seluruh negara dan Asia Tenggara dalam aspek SAR di kawasan gunung.

14 dibaca
Berita Harian X