Khamis, 6 Ogos 2015 | 6:40pm

Bursa Malaysia ditutup rendah berikutan pengambilan untung

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung besar-besaran oleh pelabur asing susulan kelemahan ringgit, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 30.92 mata atau 1.79 peratus kepada 1,694.64, selepas turun naik antara 1,694.64 dan 1,722.3 sepanjang hari dagangan.

Seorang peniaga memberi tahu, jualan berlaku sepanjang sesi dagangan berpunca daripada kelemahan ringgit yang jatuh ke paras terendah terbaharu dalam tempoh 17 tahun dengan unit tempatan itu ditutup kepada 3.9005/9035 berbanding dolar AS hari ini.

Sementara itu, pakar ekonomi, Datuk Jalilah Baba memberi tahu, asas ekonomi Malaysia masih kukuh.

"Dari segi pasaran ekuiti, pelabur asing datang dan pergi. Turun naik pasaran adalah normal dan pelabur sentiasa mencari pasaran menguntungkan untuk menyimpan pelaburan mereka.

"Pergolakan ekonomi yang dialami negara-negara dagangan utama Malaysia juga membawa impak. Tetapi ini hanya sementara kerana negara-negara terbabit telah mengambil langkah untuk menanganinya," katanya.

Jalilah juga adalah Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI).

Di papan skor tempatan, Indeks FBM Emas turun 204.89 mata kepada 11,677.95, Indeks FBMT100 susut 203.33 mata kepada 11,362.78 dan FBM Shariah menguncup 244.26 mata kepada 12,134.57. FBM 70 berkurangan 209.9 mata kepada 12,563.31 dan FBM Ace jatuh 111.62 mata kepada 6,103.86. Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 130.39 mata kepada 15,295.62, Indeks Perladangan susut 123.72 mata kepada 7,258.81 dan Indeks Perusahaan berkurangan 59.16 mata kepada 3,226.06. Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 686 berbanding 283, dengan 283 kaunter tidak berubah, 644 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung. Jumlah dagangan meningkat kepada 1.65 bilion unit bernilai RM2.02 bilion daripada 1.22 bilion unit bernilai RM1.39 bilion pada Rabu.

Dalam kalangan kaunter rugi, British American Tobacco turun RM1.80 kepada RM64.22, Petronas Gas susut 42 sen kepada RM22.10, TNB dan Nestle kedua-duanya berkurangan 40 sen setiap satu masing-masing kepada RM11.38 dan RM72.50.

Dalam kalangan kaunter cergas, The Media Shoppe turun 1.5 sen kepada 5.5 sen, Vsolar susut satu sen kepada 12 sen, Frontken berkurangan satu sen kepada 24.5 sen, RGB jatuh setengah sen kepada 14 sen manakala APFT meningkat setengah sen kepada 23 sen.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 12 sen kepada RM9.07, Public Bank susut 14 sen kepada RM19, TNB berkurangan 40 sen kepada RM11.38, Axiata jatuh 29 sen kepada RM6.14 dan Sime Darby merosot 22 sen kepada RM8.57.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 980.97 juta saham bernilai RM1.88 bilion berbanding 856.78 juta saham bernilai RM1.3 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 402.93 juta unit bernilai RM75.73 juta daripada 204.67 juta unit bernilai RM48.7 juta, sebelumnya.

Waran meningkat kepada 266.97 juta saham bernilai RM59.16 juta daripada 160.07 juta saham bernilai RM40.32 juta semalam.

Barangan pengguna menyumbang 108.08 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (212.98 juta), pembinaan (68.98 juta), perdagangan dan perkhidmatan (395.96 juta), teknologi (35.03 juta), prasarana (26.69 juta), SPAC (7.5 juta), kewangan (42.37 juta), hotel (1.45 juta), hartanah (59.53 juta), perladangan (13.79 juta), perlombongan (10,000), REITs (8.54 juta), dan dana tertutup (47,000).

- BERNAMA

Berita Harian X