Khamis, 27 Ogos 2015 | 6:33pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini sejajar dengan pengukuhan pasaran saham serantau didorong oleh Wall Street yang teguh, kata peniaga.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 21.33 mata kepada 1,601.7, selepas bergerak antara 1,579.98 dan 1,601.7 sepanjang sesi dagangan.

Peniaga berkata, sentimen pasaran serantau menerima rangsangan susulan peningkatan terbesar di Wall Street dalam tempoh empat tahun.

"Ini selepas penggubal dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menyatakan kes bagi kenaikan kadar faedah bulan depan kelihatan kurang menarik berbanding beberapa minggu lepas," katanya.

Komposit Shanghai China meningkat 156.3 mata kepada 3,083.59, Hang Seng Hong Kong melonjak 758.15 mata kepada 21,838.54, Nikkei 225 Jepun naik 197.61 mata kepada 18,574.44 dan Komposit Seoul menokok 13.91 mata kepada 1,908.

Di papan skor, Indeks FBM Emas menambah 159.46 mata kepada 10,904.92, Indeks FBMT100 naik 150.681 mata kepada 10,665.28 dan FBM Emas Syariah meningkat 145.69 mata kepada 11,392.54.

FBM Ace menokok 139.52 mata kepada 5,036.34 dan FBM 70 melonjak 194.91 mata kepada 11,516.51.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 296.14 mata kepada 14,210.3, Indeks Perindustrian meningkat 39.64 mata kepada 3,053.27 dan Indeks Perladangan menambah 33.73 mata kepada 6,796.11.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 726 kepada 206, manakala 222 kaunter tidak berubah, 649 tidak diniagakan dan 44 yang lain digantung.

Jumlah dagangan, bagaimanapun merosot kepada 2.1 bilion unit bernilai RM2.31 bilion berbanding 2.15 bilion unit bernilai RM2.27 bilion semalam.

Dalam kalangan saham cergas, AirAsia meraih 10.5 sen kepada 88.5 sen dan IFCA MSC menokok dua sen kepada 56.5 sen. The Media Shoppe susut setengah sen kepada 14.5 sen manakala Frontken dan Compugates, masing-masing tidak berubah pada 16 sen dan 4.5 sen.

Kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 15 sen kepada RM8.65, Public Bank dan TNB, masing-masing naik 18 sen kepada RM18.02 dan RM11.20, dan Maxis menambah 16 sen kepada RM6.62. Axiata turun satu sen kepada RM6.14.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat 1.22 bilion unit bernilai RM2.09 bilion daripada 1.11 bilion unit bernilai RM1.97 bilion pada semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 346.5 juta saham bernilai RM69.74 juta daripada 371.74 juta saham bernilai RM88.87 juta sebelum ini.

Waran berkurangan kepada 527.53 juta unit bernilai RM151.18 juta daripada 657.68 juta unit bernilai RM209.58 juta semalam.

Barangan pengguna menyumbang 60.98 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan industri (176.69 juta), pembinaan (48.82 juta), perdagangan dan perkhidmatan (662.47 juta), teknologi (47.42 juta), prasarana (25.07 juta), SPAC (7.85 juta), kewangan (68.57 juta), hotel (1.23 juta), hartanah (101.6 juta), perladangan (17.03 juta), perlombongan (49,700), REIT (10.62 juta), dan dana tertutup (39,400).

- BERNAMA

Berita Harian X