Jumaat, 25 September 2015 | 7:36pm

Ringgit ditutup 0.81 peratus lebih rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup 0.81 peratus lebih rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan jualan besar-besaran menjelang hujung minggu, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, ringgit disebut harga pada 4.3800/9000 berbanding dolar AS daripada 4.3450/3480 pada Rabu.

Unit tempatan itu mencatat paras harian terendah 4.3900 berbanding dolar AS untuk pertama kali sejak krisis kewangan Asia 17 tahun lalu.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti Aidiladha.

Peniaga berkata, pelabur mahu berada dalam kedudukan di mana aliran masuk tunai setanding aliran keluar berikutan selera risiko yang lebih rendah untuk mata wang itu.

"Ia diniagakan nipis hari ini kerana ramai pemain melanjutkan cuti mereka sehingga hujung minggu. Ia melonjak hanya melepasi paras 4.38 untuk mencetuskan tempahan hentikan kerugian," katanya.

Peniaga lain berkata, mata wang tempatan itu masih menerima tekanan daripada kekurangan petunjuk domestik dan harga minyak mentah yang lebih rendah telah menjejaskan selera risiko global.

"Jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS, penurunan nilai yuan disebabkan kebimbangan berterusan mengenai ekonomi China boleh menyumbang kepada satu lagi pusingan jualan ringgit," kata peniaga berkenaan.

Ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama di rantau ini.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0758/0835 daripada 3.0549/0575 pada Rabu, ia jatuh berbanding yen kepada 3.6180/6269 daripada 3.6151/6185 sebelum ini.

Unit tempatan itu merosot berbanding euro kepada 4.8784/8900 daripada 4.8299/8341 pada Rabu dan turun berbanding pound sterling kepada 6.6699/6868 daripada 6.6622/6690.

- BERNAMA

Berita Harian X