Sabtu, 24 Oktober 2015 | 12:00pm

Ringgit dijangka terus naik minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus naik minggu depan dengan unjuran ekonomi Amerika Syarikat lemah, kata seorang peniaga.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata ringgit yang stabil pada minggu kebelakangan ini diunjur mendapat rangsangan daripada kemungkinan petunjuk yang lebih jelas daripada kelemahan ekonomi AS.

"Petunjuk akan muncul meyakinkan bahawa ekonomi AS berada dalam penurunan yang ketara. Ini menamatkan sebarang petunjuk kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS," katanya.

Beliau berkata, kenyataan baru-baru ini oleh Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) mengenai pakej rangsangan juga dijangka memberi faedah kepada ringgit berikutan lebih banyak aliran masuk wang diunjur mengalir ke pasaran baru muncul.

Beliau berkata, kenyataan ECB itu adalah petunjuk kelemahan ekonomi di Kesatuan Eropah yang sebaliknya akan menunjukkan prospek lemah bagi eksport AS.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit susut kepada 4.2250/2350 daripada 4.1700/1800 pada minggu sebelumnya, dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai kelembapan pertumbuhan dunia terus menjejas harga komoditi dengan data ekonomi China yang lembap.

Ringgit lebih rendah semasa mengakhiri minggu berbanding mata wang utama lain.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0420/0507 daripada 3.0124/0215 pada Jumaat lepas dan susut berbanding yen kepada 3.5097/5189 daripada 3.4995/5094 minggu lalu.

Mata wang tempatan juga rendah berbanding pound pada 6.5078/5244 daripada 6.4435/4610 tetapi naik berbanding euro pada 4.7020/7144 daripada 4.7371/7497 sebelumnya. - BERNAMA

Berita Harian X