Ahad, 26 April 2020 | 5:13pm
Gambar hiasan. - Foto NSTP
Gambar hiasan. - Foto NSTP

Kuliah Ramadan dalam talian jadi pilihan masyarakat

KUALA LUMPUR: Tidak seperti kelaziman Ramadan sebelum ini, kuliah Ramadan atau majlis ilmu yang diadakan di masjid, surau atau pelbagai lokasi menjadi tumpuan umat Islam negara ini.

Bagaimanapun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa, sebarang bentuk perhimpunan besar atau aktiviti perkumpulan termasuk aktiviti mengimarahkan Ramadan tidak dibenarkan bagi mengekang COVID-19.

Penceramah yang sebelum ini menerima jemputan untuk menyampaikan kuliah Ramadan juga mematuhi PKP.

Kini, dengan sokongan jaringan media sosial, kuliah Ramadan tetap boleh diadakan seperti biasa dengan sedikit perubahan, namun impaknya masih boleh dilihat apabila setiap kali bersiaran secara dalam talian, puluhan ribu warganet mengikuti kuliah itu.

Pendakwah, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali Syamsul Debat, berkata beliau yang awalnya sedikit kekok dengan normal baharu itu kerana biasanya berceramah di hadapan hadirin walaupun tidak ramai.

"Walaupun duduk di rumah, saya tetap berusaha menyampaikan kuliah agama secara siaran langsung menggunakan laman rasmi Facebook saya.

"Pengikut bukan hanya tertumpu di sesuatu tempat seperti kita buat di masjid, tetapi melangkaui hingga luar negara.

"Alhamdulillah melalui cara ini, walaupun dalam tempoh PKP, umat Islam masih dapat merasai nikmat kedatangan Ramadan," katanya kepada BERNAMA.

Syamsul Amri berkata, platform media sosial membolehkan mereka mengadakan forum agama dalam talian yang menampilkan empat personaliti dakwah serentak walaupun duduk di rumah masing-masing.

"Tidak sangka penstriman langsung yang pertama kali dibuat pada malam pertama Ramadan mencecah puluhan ribu penonton dan mendapat reaksi positif sehingga boleh berulang kali ditonton selepas itu.

"Insya-Allah, pendekatan ini akan diteruskan sepanjang Ramadan," katanya.

Turut senada ialah penceramah terkenal, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang mengakui ketika tempoh PKP ini, ada sebahagian masyarakat mengalami tekanan jiwa yang memerlukan sokongan rohaniah daripada penceramah agama.

"Ustaz yang mempunyai pengikut ramai boleh menggunakan laman sosial masing-masing untuk tazkirah yang boleh mengajak warganet untuk saling memperingati ke arah lebih bermanfaat daripada mereka bosan di rumah.

"Namun, medium dakwah melalui media sosial secara langsung yang paling penting ialah pemilihan tajuk tidak terlalu berat seperti sembang santai selepas solat sunat tarawih yang jika dilakukan seperti itu akan sentiasa mempunyai kadar tontonan tinggi," katanya.

Berita Harian X