Selasa, 5 Mei 2020 | 6:53am
Membaca al-Quran antara amalan yang dapat membentuk jiwa sebagai Muslim sejati. - Foto hiasan
Membaca al-Quran antara amalan yang dapat membentuk jiwa sebagai Muslim sejati. - Foto hiasan

Ramadan detik pulihkan maruah

IBADAT puasa Ramadan disebut dalam al-Quran sebagai wahana membina insan bertakwa kepada Allah SWT.

Menurut perspektif al-Quran, takwa tidak hanya lahir dalam bentuk ketundukan individu bersifat vertikal, malah mencakupi kehidupan sosial sesama umat manusia.

Ramadan terhimpun padanya kebajikan, cahaya dan hidayah melimpah ruah seluas samudera raya.

Melalui ibadat puasa juga, Allah SWT menguji makhluk-Nya untuk mengosongkan isi perut dan memimpin nafsu ke arah darjat kesucian dan fitrah.

Dalam hal ini, Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya, Tafsir Mafatih al-Ghaib menyatakan Allah SWT melimpahkan keistimewaan Ramadan dengan menurunkan al-Quran padanya.

Oleh itu, Allah SWT mengkhususkan satu ibadat sangat besar nilainya, iaitu puasa. Puasa ialah senjata menyingkapkan segala tabir menghalang kita untuk memandang Nur Ilahi Yang Maha Kudus.

Ramadan juga dimulai dengan gerakan membasmi kemusyrikan di muka bumi, menghapuskan kedengkian, melawan kebatilan, mengekang hawa nafsu dan kesombongan manusia.

Ramadan ialah asas pembinaan iman, Islam dan ihsan bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim demi menjunjung titah perintah Tuhan Yang Maha Agung, meraih keampunan Ilahi tiada terhingga dan juga membebaskan diri daripada ancaman api neraka.

Jelas di sini, ibadat puasa berfungsi sebagai latihan pengendalian diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan dan keji akibat hawa nafsu bergelora.

Pengendalian diri itu pada hakikatnya cetusan keinsafan terpancar dari sudut jiwa terhadap pentingnya ketundukan yang penuh kudus kepada Allah SWT pada setiap detik dan ketika.

Lebih penting, keupayaan mengendalikan diri akan menjadi semakin utuh menghiasi peribadi Muslim kerana ibadat puasa secara khususnya, tidak ada seorang pun dapat mengetahuinya mahupun menilainya melainkan Allah SWT sahaja.

Puasa itu adalah 'qiyam bila amal' yang bermaksud 'beribadat tanpa bekerja.' Dikatakan 'tanpa bekerja' kerana puasa dilakukan itu bebas daripada gerakan.

Pengertian inilah yang menjadi garis pemisah atau titik perbezaan antara puasa dengan amal ibadat lain. Amal ibadat yang dilaksanakan Muslim, pasti akan dapat diketahui dari aspek lahiriah seperti solat, zakat dan haji, sebaliknya ibadat puasa pula, ia tidak dapat diketahui, apatah lagi diperlihatkan dengan gerakan lahiriah.

Jelaslah hikmah sebenar mengapa Allah SWT sahaja layak memberikan ganjaran pahala kepada orang berpuasa kerana ibadat itu satu-satunya ibadat tidak bisa dicampuri dengan sifat riyak.

Firman Allah SWT dalam satu hadis qudsi: Setiap amalan kebajikan anak Adam akan diberikan balasan dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah sahaja yang akan memberikan ganjaran kepadanya.

Imam al-Ghazali menerangkan kedudukan ibadat puasa antara ibadat lain bahawa puasa adalah satu perempat iman berdasarkan hadis Rasulullah SAW: Berpuasa itu separuh daripada sabar. Juga maksud hadis lain: Sabar itu separuh daripada iman.

Selanjutnya, puasa Ramadan ialah kesempatan terbaik bagi umat Islam untuk mempertingkatkan kualiti tiga dimensi kesedaran batin dan penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian.

Pertama, penghayatan keagamaan mendalam dalam konteks hubungan menegak antara Muslim dengan Allah SWT hingga menyuburkan sifat luhur dalam jiwa sanubarinya.

Dari sini, Muslim bersedia dengan tulus ikhlas untuk melaksanakan ibadat sepanjang Ramadan untuk memantapkan jiwanya demi meraih kemuliaan bulan itu hingga terserlah dalam peribadinya satu format kehidupan lebih baik.

Ramadan dijadikannya sebagai momentum proses kesedaran rohani dan penyucian diri ke arah martabat insan bertakwa.

Kedua, keprihatinan sosial menjalinkan hubungan mendatar antara Muslim dengan masyarakat sekelilingnya.

Kesedaran rohani dan penghayatan keagamaan tidak hanya terhad dalam skop aspek ritual dan hubungan suci dengan Allah SWT, malah turut merangkumi aspek sosial atau kemasyarakatan sejagat.

Pelaksanaan puasa dengan ikhlas akan merefleksi suatu kesedaran rohani dan keprihatinan sosial terhadap keadaan masyarakat sekelilingnya yang sama-sama menghuni bumi Allah SWT seperti bersedekah dan menderma kepada golongan fakir miskin, menyantuni anak yatim, meringankan beban dan kesusahan golongan memerlukan dan membela golongan tertindas.

Ketiga, puasa berupaya memperkukuhkan integriti diri dengan ketahanan mental, rohani dan fizikal dalam mendepani segala bentuk cubaan, ancaman, godaan serta ujian sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi.

Dalam hidup penuh liku, setiap Muslim dianjurkan bersifat positif dan optimis, di samping berusaha menampilkan nilai keperibadian terpuji ketika berhadapan dengan cabaran terbabit.

Ramadan inilah peluang keemasan dan terbaik untuk umat Islam mengatur langkah dan menyusun strategi untuk memulihkan kembali maruah dan kedudukan sebagai umat cemerlang dalam segala lapangan hidup.

Tidak hairanlah ada sebahagian ulama menyebut ibadat puasa sebagai al-riadah al-sanawiyah atau latihan kerohanian bersifat tahunan dan ada juga menyebut madrasah Ramadaniyah yang bererti tempat didikan Ramadan.

Ramadan menumpukan aspek pembinaan insan dalam pelbagai dimensi kehidupan agar seusainya bulan ini, akan lahir insan bertakwa, berjiwa kental, berakhlak terbilang dan beristiqamah yang berupaya menongkah arus memacu upaya menuju kecemerlangan dunia dan kebahagiaan abadi di akhirat.

Penulis ialah Profesor Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Berita Harian X