Sabtu, 9 Mei 2020 | 12:21pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Umat Islam Mauritania kembali ke masjid

NOUAKCHOTT: Umat Islam Mauritania membanjiri masjid terbesarnya tetapi ramai mengabaikan peraturan penjarakan sosial.

Negara itu menamatkan sekatan solat berjemaah di masjid dalam usaha membendung COVID-19.

Kerajaan pada minggu ini, mengumumkan akan melonggarkan langkah kawalan COVID-19 secara beransur dengan membenarkan pasar dibuka dan masjid dibuka untuk solat Jumaat.

Mauritania menjadi negara yang paling kurang terkesan di Afrika Barat apabila merekodkan hanya lapan kes positif dan satu kematian daripada 4 juta penduduk.

Namun, ia tetap melaksanakan langkah ketat untuk membendung COVID-19 seperti menutup sempadan, melarang solat jemaah di masjid, menutup pasar dan memperkenalkan perintah berkurung pada waktu malam di seluruh negara.

Semalam, umat Islam membanjiri masjid utama yang terbesar di Nouakchott untuk menunaikan solat.

Pegawai, Ly Almamy, berkata pandemik itu mengekang pergerakan rakyat tetapi pembukaan masjid itu menunjukkan mereka masih ada harapan.

Sementara itu, seorang jemaah, Dia Mamadou, berkata seperti manusia perlukan roti untuk hidup, kita juga memerlukan solat untuk menyegarkan rohani dan iman.

Namun, tidak ramai yang memakai pelitup muka meskipun kerajaan mewajibkan pemakaiannya.

Kerajaan juga mewajibkan jemaah membasuh tangan dengan sabun sebelum memasuki masjid dan melakukan penjarakan sosial.

Pihak berkuasa memberi amaran akan mengkaji semula kelonggaran peraturan. - AFP

Berita Harian X