Jumaat, 3 Januari 2020 | 11:00am
Pertunjukan bunga api sempena sambutan ambang tahun baharu 2020 dan Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2019 di Dataran Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Perbaiki diri hadapi cabaran masa depan

SETIAP kali muncul tahun baharu, maka meriahlah di media sosial terutama ucapan selamat tahun baharu. Sama ada tahun baharu hijri ataupun masihi, hatta Tahun Baharu Cina sekalipun. Ucapan sebegini seolah-olah sudah menjadi satu norma bagi masyarakat berbilang kaum ini dalam menzahirkan kecaknaan mereka kepada ahli keluarga mahupun kenalan masing-masing.

Dalam kegembiraan kita menyambut tahun baharu ini, sayugia kita juga menyedari bahawa apa yang kita namakan sebagai saat, minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun, dekad, abad, alaf dan apa sahaja nama dan ukuran yang kita sebut, hakikatnya ia hanyalah menjadi lambang kepada satu perkara, iaitu masa.

Semua ini sekadar hitungan yang merujuk kepada masa. Keseluruhan ketamadunan manusia meletakkan masa sebagai satu perkara yang sangat penting dan berharga. Masa yang sudah berlalu, tidak akan kembali lagi. Masa yang akan datang, belum ada kepastiannya lagi.

Akidah Islam mengajarkan, masa sebenarnya adalah salah satu makhluk yang dicipta oleh Allah SWT. Sebelum Allah menciptanya, masa itu sendiri tidak ada. Allah adalah al-Khaliq (Sang Pencipta), manakala apa sahaja selain Allah, semuanya adalah makhluk ciptaan-Nya, termasuk masa.

Sebelum Allah menciptakan masa, tidak ada yang dikatakan sebelum, sedang atau akan datang. Oleh itu, Maha Suci Allah daripada terikat, tertakluk dan memerlukan masa. Allah wujud tanpa permulaan kerana wujud Allah tidak bergantung, terkait dan terikat dengan masa.

Maka dengan masa inilah Allah SWT pernah bersumpah, bahawa seluruh manusia itu pasti dalam kerugian yang besar. Sumpah Allah ini terkandung dalam surah al-‘Asr yang bermakna masa. Surah ini adalah surah yang sangat pendek, hanya mengandungi tiga ayat. Sungguhpun begitu, Imam asy-Syafi’ie menyatakan, sekiranya manusia mengambil pengajaran daripada surah ini, maka ia adalah memadai untuk mereka sebagai panduan.

Ini adalah sumpah yang besar, di mana Allah bersumpah dengan ‘masa’ bahawa seluruh manusia pasti dalam kerugian yang besar. Ia membawa makna, tidak ada seorang pun yang terselamat daripada kerugian, kegagalan dan kebinasaan ini kecuali mereka yang mempunyai empat kriteria.

Hanya yang mempunyai keempat-empat kriteria ini yang akan terselamat daripada sumpah kerugian ini.

Di dalam Tafsir al-Jalalain dinyatakan bahawa empat kriteria yang perlu dimiliki ini ialah beriman, beramal soleh, saling berpesan dengan perkara yang hak yakni iman dan saling berpesan berkenaan kesabaran dalam ketaatan kepada Allah serta menjauhi maksiat kepada-Nya.

Syaikh at-Tontowi dalam tafsirnya menyatakan, insan mempunyai keempat-empat perkara ini sahaja yang terselamat daripada rugi dan binasa. Didalam tafsir Adwa’ al-Bayan diterangkan, maksud ‘al-haq’ ialah apa sahaja ajaran agama yang diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah SAW.

Oleh yang demikian, kita perlu memastikan bahawa dalam kehidupan harian, kita tidak leka daripada memastikan yang kita sentiasa berusaha untuk bersifat dan bersikap dengan keempat-empat kriteria ini.

Surah Masa ini menekankan bahawa pentingnya kita menghidupkan budaya saling memperingati, menasihati, berpesan, saling menyampaikan kebaikan, mendakwahkan serta menegakkan amar makruf nahi mungkar.

Perkara ini bukan sahaja dilazimi semasa di masjid atau dalam syarahan agama, tetapi perlu dijadikan budaya sama ada di rumah, tempat kerja mahupun tempat awam. Sebab itulah, perkataan ‘tawaasau’ yang disebut di dalam surah ini.

‘Tawaasau’ bermakna, sikap saling berpesan iaitu wujud keadaan timbal balik antara dua atau banyak pihak. Jadi ia memberikan maksud bahawa usaha saling menyeru dan menyampaikan perkara ‘al-haq’ tadi benar-benar sudah menjadi budaya dalam sesuatu komuniti.

Semoga peringatan surah al-‘Asr ini benar-benar berbekas dalam setiap juzuk kehidupan kita.

Penulis adalah Pengerusi Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISLAMI) Putrajaya

Berita Harian X