Jumaat, 3 Januari 2020 | 11:00am
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun (kanan) bersama Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kimanis, Jupry Etok (kiri) menunjukkan peta kawasan PRK pada sidang media di Menara SPR, Putrajaya, Disember lalu. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

PRK Kimanis penentu kekuatan WARISAN, PH

MAMPUKAH Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang menampilkan Datuk Karim Bujang untuk menawan kerusi Parlimen Kimanis yang dikatakan menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu 18 Januari ini?

Pada masa sama, adakah UMNO dan BN mampu merampas semula kerusi itu yang diwakili Bebas selepas penyandangnya, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas pada akhir 2018?

Dua persoalan itu menjadi perhatian ramai pemerhati politik bukan saja di Sabah, malah di seluruh negara berikutan ada pendapat mengatakan PRK Kimanis bakal menjadi penentu kekuatan parti pemerintah.

Meskipun bilangan calon atau parti yang bertanding hanya diketahui secara rasmi pada hari penamaan calon esok, saingan pastinya lebih tertumpu di antara WARISAN dan UMNO.

Sebagai parti pemerintah, WARISAN yang diberi mandat oleh Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk meletakkan calon pada PRK itu sudah pasti memiliki kelebihan dari segi kekuatan jentera berbanding pembangkang.

Semalam, Karim yang juga Ketua WARISAN Kimanis, diumumkan sebagai calon.

UMNO dengan kerjasama rakan dalam BN pula bergantung kepada isu semasa yang dimanipulasi untuk menghentam kerajaan bagi meraih sokongan pengundi. Antaranya, isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadang dikeluarkan kepada warga asing pemegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang menjadi ‘berita panas’ ketika ini.

Menerusi pengeluaran PSS yang dijadual bermula Jun ini, kerajaan sekarang didakwa lebih suka membiarkan warga asing terus tinggal di negeri ini berbanding mengusir mereka pulang ke negara asal.

UMNO dan rakan sekutunya termasuk PAS sudah turun padang menjaja isu itu bagi memancing undi menerusi program ceramah dan bertemu pengundi sejak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh PRK.

Meskipun kerajaan sudah menjelaskan rasional dan pendekatan digunakan untuk melaksanakan PSS, taktik pembangkang yang memanipulasi isu itu sedikit sebanyak menyebabkan rakyat tempatan berasa bimbang dengan kedudukan mereka.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Antiong, baru-baru ini berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan terperinci mengenai PSS bagi mengelak ia disalah tafsir.

Beliau mengakui program itu adalah usaha yang baik bagi menangani isu warga asing di Sabah, namun ia perlu diperjelaskan dengan baik kepada rakyat supaya mereka lebih memahaminya.

Kelmarin, UMNO mengumumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Mohamad Alamin yang juga Ketua UMNO Kimanis bagi menggalas misi BN merampas semula kerusi Kimanis.

Mohamad atau turut dikenali sebagai Datuk Mo menjelaskan misi beliau adalah untuk menjadikan PRK itu sebagai mesej kepada kerajaan agar tidak memperjudikan nasib rakyat negeri itu. Sama ada UMNO mampu menjadikan misi itu sebagai kenyataan atau tidak, apa yang pasti WARISAN juga sudah bersedia berdepan dengan cabaran PRK berkenaan menerusi program turun padang.

Pemilihan Karim sebagai pemimpin veteran untuk menggalas cabaran parti pemerintah pada PRK berkenaan sudah pasti tahu selok-belok kekuatan dan kelemahan parti yang bertanding dalam usaha meraih sokongan rakyat.

Sokongan rakan PH Sabah, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga memberi kelebihan kepada WARISAN, berikutan ramai bekas ahli UMNO memilih menyertai parti itu bersama bekas pemimpin UMNO di Kimanis.

Ketua BERSATU Kimanis, Datuk Mohd Ariffin Arif yang keluar UMNO bersama sebahagian besar pemimpin UMNO Sabah pada Disember 2018 menyatakan komitmennya untuk memastikan kemenangan calon WARISAN menerusi usaha meyakinkan ahli BERSATU dan pengundi Kimanis.

Parlimen Kimanis yang terbahagi kepada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut, sebelum ini dianggap sebagai kubu UMNO, namun kekalahan parti itu di Bongawan dan kemenangan tipis dengan majoriti 156 undi di kerusi Parlimen pada PRU-14 memperlihatkan kedudukan itu sudah berubah.

Faktor itu juga dijadikan sandaran oleh WARISAN untuk meletakkan keyakinan mencapai kemenangan pada PRK itu bagi memastikan semua kerusi dalam Parlimen Kimanis dikuasai parti yang mewakili pemerintah.

Walau apapun pendekatan yang digunakan pihak pembangkang atau kerajaan dalam berkempen, sudah tentu keputusan akhir terletak di tangan pengundi Kimanis sendiri. Tidak kisahlah sama ada keputusan itu nanti menjadi penentu kekuatan parti pemerintah atau tidak, yang jelas rakyat pasti mahukan wakil rakyat yang dipilih mampu membawa perubahan pembangunan kepada kawasan itu.

Penulis adalah wartawan Berita Harian Sabah

Berita Harian X