Sabtu, 4 Januari 2020 | 11:00am
Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Affendi Buang, 58, memberi tabik hormat kepada perbarisan kehormat pada Majlis Istiadat Perbarisan Serah Terima Jawatan Panglima Tentera Udara dan Upacara Kenaikan Pangkat Panglima Tentera Udara Ke-19 di Pangkalan Udara Subang. - Foto BERNAMA

'Apai Sarawak' kini terajui ATM

Siapa sangka, seorang anak kampung yang pemalu dari Kuching berjaya mencatat kejayaan cemerlang sejak 40 tahun lalu - bermula daripada seorang pelajar pintar kepada antara juruterbang jet pejuang terbaik di Malaysia.

Namun, pencapaian terbesar Jeneral Tan Sri Affendi Buang, 58, apabila beliau dilantik Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diumumkan kelmarin. Lebih dikenali dalam kalangan rakan di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai Apai, nama yang diberikan kepada pahlawan Iban terkenal, Rentap yang mempertahankan kubu di Bukit Sadok, Betong 160 tahun lalu. Affendi adalah juruterbang jet pejuang yang mengasas dan mengetuai pasukan ‘Smokey Bandits’.

Bekas ketua pasukan aerobatik TUDM itu menjadi panglima tentera udara pada usia 54 tahun apabila dia menerima bintang keempat selepas mengambil alih jawatan daripada penyandang, Jeneral Tan Sri Roslan Saad pada 16 Disember 2016.

Beliau antara beberapa pegawai TUDM yang menerima anugerah Pingat Tentera Udara (PTU) atas kemahiran cemerlang sebagai juruterbang jet. Dilahirkan pada 21 Ogos 1962, Affendi adalah seorang pelajar berasal Kampung Lintang, Kuching yang cemerlang ketika menuntut di Sekolah Menengah Tun Openg.

Walaupun menamatkan Sijil Rendah Pelajaran (LCE) pada 1977 dengan cemerlang, ibu bapa dan gurunya tidak mengharapkan Affendi mempunyai impian yang menggunung. Sebagai seorang olahragawan, beliau dipilih melanjutkan pendidikan menengahnya di Maktab Tentera Diraja (RMC) di Sungai Besi di mana beliau menamatkan Malaysian Certificate of Education (MCE) pada 1979.

Beliau kemudian memutuskan untuk membina kerjaya dalam tentera dan menyertai TUDM. Selepas menyertai ATM sebagai Pegawai Kadet TUDM pada 1980, beliau menerima latihan asas di Sekolah Pegawai Kadet di Port Dickson.

Bagaimanapun, setahun kemudian, pelajar Tingkatan Enam Rendah aliran sains ini membuat keputusan untuk tidak meneruskan cita-cita sebagai ahli akademik selepas dia dihantar menjalani Latihan Penerbangan Asas di TUDM, Alor Setar.

Pada 1982, selepas ditugaskan sebagai pegawai TUDM, beliau dihantar ke ‘Flying Training Center’ TUDM di Kuantan untuk penukaran jet Aermacchi MB-339, jurulatih jet tentera dan pesawat serangan ringan.

Sejak itu, kerjayanya sebagai juruterbang jet pejuang bermula dengan Penukaran Operasi seterusnya bersama McDonnell Douglas A- 4 Skyhawk pada Oktober 1984, diikuti dengan jelajah pertamanya bersama A-4 Skyhawk pada Jun 1985.

Ketika meniti kejayaan, Affendi menubuhkan pasukan taktikal aerobatik MiG-29 TUDM yang terkenal dengan nama ‘Smokey Bandits’ dan dengan sikap derring-do, beliau mendapat gelaran Apai, merujuk kepada pahlawan Iban yang terkenal.

Pada usia 26 tahun dan sebagai pengiktirafan terhadap pengetahuan, kemahiran dan sikapnya, beliau menjadi tenaga pengajar juruterbang A-4 Skyhawk. Beliau dipilih menjadi pegawai elit untuk Pasukan Projek MiG-29 TUDM pada 1994 yang kemudian menyertai Pasukan Teknikal Tentera MiG-29 TUDM di Russia.

Bersama bekas Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad beliau antara kadet perintis yang bertanggungjawab untuk proses pemindahan pengetahuan bagi membangunkan kemampuan operasi MiG-29 TUDM.

Sepanjang lewat 1980-an dan sebelum penyerahan Parti Komunis Malaya dan memorandum persefahaman (MoU) Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang berpangkalan di Sarawak, Affendi terbabit dalam beberapa misi yang membawa kepada berakhirnya pemberontakan komunis.

Beliau menjadi Pegawai Staf 1 Operasi Pejuang pada 2002 dan kemudian bertanggungjawab ke atas kesediaan operasi dan kecekapan tentera pesawat pejuang TUDM. Pada 2009, Affendi dinaikkan pangkat menjadi Brigadier Jeneral TUDM dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Operasi dan Latihan di Pusat Operasi Udara TUDM hingga penghujung 2010. Ketika itu beliau baru berusia 48 tahun.

Selepas setahun menghabiskan pengajian di United Kingdom, beliau kembali ke Malaysia sebagai Ketua Pengarah Operasi dan Latihan di Pusat Operasi Udara TUDM. Beliau dilantik sebagai Leftenan Jeneral TUDM pada Julai 2014 dan kemudian memegang jawatan sebagai Panglima Angkatan Bersama. Pada akhir tahun, beliau adalah Panglima Operasi Udara untuk 12 bulan sebelum dilantik sebagai Timbalan Panglima TUDM pada 2015.

Pada 21 Disember 2016, Affendi menjadi Panglima TUDM ke-18. Affendi berkata: “sebagai seorang tentera, ia penting untuk terus memperoleh pengetahuan kerana ia adalah kunci meningkatkan kecekapan serta kemahiran dalam menaik taraf diri sendiri.”

Selain menyertai misi penerbangan, beliau mengikuti pengajian di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) pada 1997 dan Kursus Pengajian Pertahanan dan Strategik di Pusat Pengajian Pertahanan dan Strategik (CDSS) Australia pada 2005.

Affendi juga memperoleh Ijazah Sarjana Seni (Pengajian Strategik) dari Deakin University, Australia serta menaik taraf pengetahuan pertahanannya di Royal College of Defense Studies (RCDS) London.

Mengahwini kakanda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Puan Sri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah, Affendi dan keluarga sering pulang ke Kuching untuk bertemu ahli keluarga dan sahabat handai.

Selain minat dalam sukan golf, Affendi juga gemar membaca. Sebagai Panglima ATM, beliau akan memainkan peranannya bagi menjadikan negara ini tempat lebih selamat selain memastikan pasukan keselamatan melaksanakan tanggungjawab dengan disiplin dan menghormati Raja dan rakyat.

Penulis adalah bekas wartawan New Straits Times di Kuching

Berita Harian X