Isnin, 6 Januari 2020 | 11:00am
FOTO hiasan.

Barah pemusnah kehidupan ketamadunan manusia

KITA baru sahaja melangkah ke Tahun Baharu 2020 yang mana kehidupan manusia dipenuhi dengan pelbagai peralatan canggih seiring pembentukan negara maju pada alaf baharu.

Namun, di sebalik kemodenan ekonomi dan negara, kita masih hidup dalam ketakutan. Apa tidaknya, berita yang baru-baru ini dipaparkan media massa menunjukkan barah atau kanser masih menjadi pembunuh nombor satu negara.

Kanser atau barah boleh ditakrifkan kumpulan penyakit yang terjadi daripada tindakan sel yang bertindak di luar tabiat asalnya yang mana pada lumrahnya, sel ini akan membuat pembahagian dengan kadar yang terkawal serta dihasilkan mengikut keperluan tubuh seseorang individu.

Apabila kadar penghasilan sel melebihi keperluan, ia akan menghasilkan lebihan tisu. Lebihan tisu ini jugalah yang dikenali sebagai ketumbuhan. Ketumbuhan ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu benign (tumor bukan barah) dan malignan (tumor jenis barah).

Kebanyakan pesakit mulai sedar mereka antara golongan menghidapi kanser pada tahap 3 atau 4 iaitu pada peringkat akhir. Laporan kajian dijalankan Institut Kanser Negara menunjukkan ada 10 jenis kanser yang sering dan selalu berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia antara 2012 hingga 2016. Antaranya, kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasofarinks, leukemia, prostat, hati, serviks utari dan ovari.

Daripada 10 jenis kanser ini, tiga lazimnya berlaku pada lelaki adalah kolorektal, paru-paru dan prostat, manakala tiga kanser utama sering dihadapi wanita adalah payudara, kolorektal dan serviks.

Hal ini cukup merisaukan kita. Lebih memeranjatkan, statistik menunjukkan seawal umur 14 tahun, penyakit leukemia dan spinal cord injury mampu menyerang tubuh manusia. Tambahan lagi, antara umur 15 hingga 24 tahun, kita mampu terdedah dengan penyakit kanser limfoma.

Semua statistik ini memberi kita satu petunjuk jelas iaitu manusia hari ini sering mengabaikan kesihatan mereka kerana sering terikut pengamalan budaya tidak sihat yang ditunjukkan di ruang media sosial. Kita ambil contoh mudah, pengenalan air minuman bubble tea yang pernah menggemparkan negara sekitar setahun lalu.

Tidak salah meminum air teh ini kerana di dalamnya mengandungi magnesium, fosfor, kalium, dan florid serta antioksida tinggi yang baik untuk kesihatan. Namun, pengambilan gula berlebihan serta jumlah sagu (pearl) yang tinggi karbohidrat sambil disaluti bersama gula perang, hanya mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan kemudian hari.

Pengambilan air minuman ini dengan kerap mampu mendatangkan penyakit kanser kolon (kolorektal) dalam kalangan penggunanya. Makanan seperti daging proses seperti sosej, air cola diet, tepung putih halus, gula halus yang biasanya ada di dalam pai dan kek, serta air tin perlu dielakkan atau kalau boleh tidak mengambilnya langsung agar penyakit seperti kanser ini dapat dibendung dan dicegah dari peringkat awal lagi.

Menurut Pakar Perunding Onkologi Perubatan Hospital Beacon, Dr Azura Rozila Ahmad, saringan mamogram dan pemeriksaan pap smear perlu kerap dijalankan bagi memastikan sebarang kanser yang berlaku dapat ditangani pada peringkat awal.

Selain itu, menjalani gaya hidup sihat seperti bersenam dan bersukan, berat badan yang ideal, serta mengambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar mampu menyelamatkan kita daripada menghidapi penyakit kanser.

Perkara paling utama adalah menghentikan tabiat merokok atau vape serta menghentikan pengambilan alkohol supaya jantung, paru-paru, hati dan anggota dalaman sentiasa sihat dan selamat.

Justeru, marilah kita mengambil sedikit iktibar yang mana kanser ini bukan sahaja boleh memusnahkan kehidupan kita, malah mampu mengakhiri tamadun manusia yang dibina sekian lama.

Tugas kita sebagai manusia dan hamba-Nya adalah menjaga amanah yang diberi yang Maha Esa agar kelak kita mampu menjawab segala persoalan apabila bertemu dengan Sang Pencipta.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Aktuari, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Perak.

Berita Harian X