Jumaat, 10 Januari 2020 | 11:00am
Pendekatan agresif larangan merokok di restoran dan kedai makan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat. - Foto hiasan/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Merokok bukan amalan murni

Hukum merokok seperti dimaklumkan, diputuskan secara muktamad apabila difatwakan secara bersama Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia melalui muzakarah ke-37 pada 23 Mac 1995.

Fatwa haram dan dilarang itu atas beberapa alasan, iaitu merokok mendatangkan kemudaratan kepada perokok dan orang lain di sekelilingnya, di samping alam sekitar. Ia juga berdasarkan ajaran Islam bahawa menjadi kewajipan kepada umatnya untuk menghindari segala bentuk kemudaratan dalam kehidupan, sama ada tingkah laku, percakapan atau pertuturan.

Justeru, kewajipan melaksanakannya perlu dibuat dalam bentuk pendidikan pencegahan dan penguatkuasaan.

Oleh itu, bermula 1 Januari 2020, merokok di semua premis makanan awam menjadi kesalahan dan menyalahi undang-undang. Penguatkuasaan sepenuhnya larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan 2018) Akta Makanan 1983 ini boleh dikatakan drastik, berani.

Apa yang penting, langkah itu mewakili majoriti besar suara dan keinginan rakyat Malaysia yang mahukan persekitaran bersih, sihat serta selamat untuk dinikmati bersama.

Hakikatnya, masyarakat sudah dapat menerima arahan penguatkuasaan itu dan patuh kepada larangannya. Mereka sudah dididik setahun sebelum ini, sekali gus bersedia menerima arahan dan peraturan baharu.

Islam menuntut supaya kita menyuruh perbuatan elok untuk mendapatkan hasil dan matlamat baik melalui cara betul serta sahih. Ini bertepatan firman Allah SWT: “Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu segolongan manusia menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah daripada kejahatan dan merekalah orang beruntung.” (Ali Imran: 104)

Dalam konteks ini, pendekatan bersungguh-sungguh membabitkan keputusan pada peringkat kepemimpinan politik menjadi pendekatan paling agresif, tetapi mujarab, cepat dan berpengaruh dalam membimbing atau memandu ummah ke arah kesejahteraan.

Walaupun paling efektif, ia amat sukar untuk diperoleh melainkan jika ada keberanian dan kesungguhan ikhlas.

Penguatkuasaan larangan merokok sebenarnya keperluan untuk menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak merokok.

Walaupun gejala merokok bersifat peribadi dan bagi memenuhi tuntutan naluri semata-mata, ia budaya atau gaya hidup yang akhirnya memberi kesan buruk kepada masyarakat secara keseluruhan. Dari segi etika dan moral, tabiat merokok tidak pernah dijulang sebagai amalan gaya hidup sihat atau amalan murni.

Malah, secara saintifiknya, tabiat merokok juga diiktiraf sebagai tabiat memiliki lebih banyak kemudaratan kepada kesihatan dan kehidupan serta kewangan. Namun apa kelebihan yang ada pada perokok?

Apa yang pasti, ketagihan akan muncul akibat tabiat merokok. Ia menjadikan perokok saban hari semakin ‘setia’ kepada rokoknya. Kesetiaan itu tidak pernah luput dan tidak perlu dipertikaikan lagi. Lebih menyedihkan apabila tabiat dipupuk sejak sekian lama itu bermula seawal usia kanak-kanak dan remaja.

Sebanyak 22.8 peratus atau lima juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun dan ke atas adalah dalam kalangan perokok. Malah, hubung kait dapat ditemukan, iaitu semakin awal seseorang individu itu merokok, semakin pendek kadar jangka hayatnya.

Sepanjang hidupnya akan dihantui pelbagai kesan negatif tabiat merokok dan juga dibebani pelbagai implikasi lain.

Lihatlah angka 27,000 kes kematian akibat asap rokok berlaku setiap tahun. Ini rekod dinyatakan kajian Kementerian Kesihatan pada 2015. Kematian berpunca asap rokok boleh diperoleh di mana-mana, tidak kira di rumah, kejiranan pusat membeli-belah atau taman rekreasi awam.

Penulis dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X