Rabu, 15 Januari 2020 | 11:00am
Bidang keusahawanan mempunyai potensi besar dan luas pasarannya. Jadi, universiti boleh memanfaatkan bakat terbesar bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada mahasiswa bekerja ketika dalam pengajian. - Gambar hiasan/alumni.uthm.edu.my/

Universiti perlu pupuk budaya niaga

Paradigma pemikiran universiti masa kini semakin berubah daripada melahirkan graduan pencari kerja kepada graduan yang mampu mencipta pekerjaan.

Pelbagai inisiatif dilaksanakan universiti mentransformasi minda mahasiswa yang berbudaya keusahawanan atau entrepreneurial. Inisiatif ini sebenarnya berjalan sekian lama, tetapi tidak ramai graduan mengambil peluang menceburi bidang keusahawanan.

Sebaliknya, kebanyakan graduan masih fokus kepada usaha mendapatkan pekerjaan, sama ada dalam sektor awam atau swasta.

Sebenarnya bidang keusahawanan mempunyai potensi besar dan luas pasarannya. Jadi, universiti boleh memanfaatkan bakat terbesar bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada mahasiswa bekerja ketika dalam pengajian.

Dengan ini, mereka dapat mempelajari kemahiran bekerja secara praktikal. Ia bekalan pengalaman paling berguna untuk dibawa memasuki alam pekerjaan sebenar kelak.

Namun, terdapat pandangan negatif mereka yang skeptikal belajar sambil bekerja. Mereka berpendapat ia mengganggu pengajian mahasiswa.

Namun, pandangan ini agak tradisional kerana pendidikan tinggi di negara Barat sudah lama mendedahkan pemikiran keusahawanan. Keperluan dan keutamaan masa kini ialah untuk melahirkan graduan serba boleh atau berketerampilan.

Meskipun mungkin wujud segelintir mahasiswa yang terkesan dengan amalan belajar sambil bekerja, masalah ini boleh diatasi dan bukan harus ditanggapi sebagai cabaran ekstrem. Antara langkah boleh diambil ialah menyesuaikan jadual kuliah dengan waktu bekerja agar tidak berlaku pertindihan waktu. Mahasiswa juga perlu bijak mengurus masa.

Dalam dunia semakin kompetitif, penting untuk universiti membuat pelaburan dalam menaik taraf kemudahan dalam kampus yang mampu memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa menjalankan aktiviti perniagaan.

Pengalaman Universiti Teknologi Malaysia (UTM) boleh dijadikan contoh terbaik. Sebuah arked menjadi lokasi utama warganya makan dan minum, dinaik taraf dengan reka bentuknya moden dan menarik. Arked Meranti memang menjadi tumpuan ramai, termasuk pelanggan dari luar UTM.

Dengan menaik taraf kemudahan seperti lokasi makan dan minum ini, warga universiti diberi ruang lebih selesa dan kondusif untuk makan dan minum. Ruang itu juga sesuai dijadikan tempat perbincangan kumpulan bagi menyempurnakan tugasan akademik atau mesyuarat santai dalam kalangan ahli kelab dan persatuan.

Wajah baharu Arked Meranti memang dinantikan banyak pihak berkepentingan, terutama mahasiswa. Kemudahan dinaik taraf ini memberi motivasi baharu, termasuk kepada peniaga, mahasiswa, staf universiti dan orang awam.

Universiti perlu mengubah cara berfikir dan bertindak lebih praktikal berasaskan keperluan semasa. Pelaburan sebegini amat dialu-alukan untuk keperluan jangka panjang dalam menyediakan kemudahan kelas pertama kepada semua warga dalam dan luar universiti. Tambahan pula, UTM semakin terserlah pada peringkat global.

Sebenarnya inisiatif universiti mempunyai kaitan dengan program mentransformasi kehidupan kampus secara menyeluruh.

Universiti percaya dengan menaik taraf kemudahan, ia akan menarik lebih ramai orang datang dan memeriahkan suasana kampus. Apa yang lebih penting, inisiatif ini dapat menambah pendapatan dalam kalangan peniaga dan mahasiswa yang terbabit dengan perniagaan.

Implikasinya, ia akan memberi pulangan berganda kepada universiti. Aktiviti perniagaan dalam kampus semakin berkembang pesat, bahkan kampus menjadi lebih meriah dan ceria dengan binaan bangunan yang cantik dan memiliki ciri-ciri futuristik.

Justeru kepemimpinan universiti perlu mempunyai kepercayaan bahawa pelaburan diletakkan masa kini mampu menjana transformasi berimpak tinggi kepada mahasiswa menjalani kehidupan mereka dalam kampus yang lebih ceria dan bahagia.

Universiti juga berhasrat agar usaha menaik taraf kemudahan ini mampu menyuburkan budaya ilmu yang menjadi teras pembangunan keintelektualan bangsa dan negara. Sesi bedah buku atau pidato umum boleh dilakukan di lokasi yang cantik dan menarik serta menjadi tumpuan ramai. Dengan itu, lebih ramai khalayak berminat dengan aktiviti keilmuan atau budaya ilmu akan menghadiri program berkenaan.

Semoga pelaburan bernilai jutaan ringgit bagi menyediakan prasarana fizikal kampus mampu merealisasikan hasrat membina universiti bertaraf global yang segar dengan aktiviti keilmuan lebih santai.

Hasrat ini bersesuaian misi universiti membangunkan mahasiswa yang berbudaya keusahawanan, menjana peluang ekonomi dan menghidupkan suasana kampus lebih meriah dan lestari.

Prof Madya Dr Kassim Thukiman adalah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Johor
Berita Harian X