Jumaat, 17 Januari 2020 | 11:00am
SERAMAI 29,619 pengundi PRK Kimanis yang mempunyai dua kawasan DUN, iaitu Bongawan dan Membakut akan membuat pemilihan esok untuk menentukan parti atau calon mana yang akan mewakili mereka di Dewan Rakyat nanti. - NSTP/Edmund Samunting

Undi demi pembangunan atau suara lantang

SERAMAI 29,619 pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Bongawan dan Membakut akan membuat pemilihan esok untuk menentukan parti atau calon mana yang akan mewakili mereka di Dewan Rakyat nanti.

Sejak kempen bermula kira-kira dua minggu lalu, dua parti bertanding, iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Barisan Nasional (BN) dengan calon masing-masing, Datuk Karim Bujang dan Datuk Mohamad Alamin menggunakan pelbagai isu untuk menarik sokongan pengundi. Paling menarik adalah berkaitan isu Pas Sementara Sabah (PSS) dan Perjanjian Malaysia 1963.

WARISAN menggunakan ungkapan ‘Cukuplah BN di Sabah’ sebagai slogan utama. BN pula, menggunakan slogan ‘Ubah Balik’ sebagai sandaran untuk memikat hati pengundi.

Namun di sebalik keghairahan berkempen, ramai pengundi keliru dan bingung. Ada yang mula tertanya-tanya, mana satu parti yang betul selepas mengambil kira pelbagai tuduhan dibuat ketika kempen untuk menghentam satu sama lain.

Contohnya, dalam isu PSS, yang menjadi sandaran utama kempen khususnya BN yang mendakwa PSS adalah cubaan kerajaan WARISAN untuk menghalalkan pendatang asing tanpa izin terus tinggal di negeri ini dan menghakis hak rakyat tempatan.

WARISAN pula mendakwa PSS adalah program BN ketika memerintah negeri itu. Malah, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam menunjukkan minit Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pendatang Tanpa Izin Sabah yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada 14 Mac 2016 sebagai bukti PSS adalah idea BN.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, juga menunjukkan sendiri minit mesyuarat dikaitkan dengan perkara itu dalam perjumpaan dengan pengundi ketika menyertai ceramah kempen WARISAN di sekitar Kimanis, baru-baru ini.

PSS sebenarnya bertujuan memudahkan pengurusan warga asing, terutama mereka yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Impaknya isu hanya akan diketahui malam esok apabila keputusan PRK Kimanis diumum.

Pada ketika pemerhati politik berpendapat persaingan agak sengit dan banyak ditentukan oleh isu semasa dan pengundi atas pagar, sebuah badan pemikir, Ilham Centre meramalkan WARISAN akan menang selesa di Kimanis yang sebelum ini kubu kuat BN.

Kajian selidiknya mendapati Karim yang berkhidmat selama lima penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan mempunyai kelebihan dengan 57 peratus berbanding calon BN. Dalam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), calon BN, Datuk Anifah Aman hanya menang dengan majoriti 150 undi.

Antara faktor dikatakan menjadi kelebihan WARISAN adalah kedudukannya sebagai parti pemerintah, faktor pengikut sedia ada, dan sentimen pengundi yang lebih menyokong parti tempatan, berbanding BN yang lihat parti Semenanjung. Malah, kajian itu juga mendapati isu nasional dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga tidak mendapat perhatian responden kerana sukar difahami dan kompleks.

Pemerhatian dan tinjauan selama dua minggu di sekitar kempen PRK juga mendapati kebanyakan pengundi, khususnya orang kampung, kurang memahami kedudukan sebenar isu dikaitkan dengan PSS.

Jadi, tentu sukar bagi mereka memastikan pihak mana yang bercakap benar dan pihak mana sebaliknya.

Seperti kata seorang mak cik yang ditemui di pasar Bongawan, pemikiran pengundi jelas berbelah bahagi. Namun, pertimbangan wajar harus dilakukan untuk memilih antara dua - pembangunan dilaungkan WARISAN atau suara lantang dijanjikan BN di Parlimen dengan menambah wakil pembangkang dari Sabah, khususnya UMNO yang ketika ini hanya ada seorang wakil dari negeri itu.

Pengundi juga perlu mengambil kira kedudukan wakil rakyat, sama ada yang boleh mendapat peruntukan kerajaan untuk melaksanakan pembangunan di Kimanis atau yang boleh membawa suara lantang di Parlimen tetapi tidak mendapat dana untuk pembangunan.

Disebabkan Kimanis masih mundur, pengundi perlu memilih secara waras tanpa mengambil kira isu hangat dibawakan mana-mana parti politik untuk menambat sokongan mereka.

Pengundi Kimanis perlu membuat perkiraan yang betul sebelum mula memangkah pagi esok dengan memikirkan masa depan dan pembangunan untuk kawasan mereka.

Penulis adalah wartawan Berita Harian Sabah

Berita Harian X