Rabu, 25 March 2020 | 3:22pm
Menara KWSP, Jalan Tun Razak. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
Menara KWSP, Jalan Tun Razak. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Impak inisiatif i-Lestari terhadap ekonomi

Kerajaan mengumumkan kemudahan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Ekonomi (KWSP) berusia 55 tahun ke bawah mengeluarkan simpanan akaun dua mereka, maksimum RM500 sebulan untuk 12 bulan.

Kemudahan ini sudah tentu memberi keringanan kepada pencarum apabila mereka mempunyai lebihan maksimum RM6,000 untuk dibelanjakan setahun akan datang.

Ini terutamanya untuk pekerja yang pendapatan mereka terjejas akibat isu COVID-19.

Bagaimanapun, terdapat pekerja yang pendapatan mereka tidak terjejas turut berhak mengeluarkan caruman mereka. Ini akan menjejaskan simpanan untuk persaraan mereka.

Bukan sahaja jumlah simpanan mereka akan berkurang, mereka turut hilang potensi dividen yang akan diterima.

Sebenarnya langkah ini lebih memberi makna untuk merangsang pertumbuhan ekonomi jangka pendek. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan meningkat secara langsung melalui perbelanjaan swasta.

Maka jumlah pengeluaran RM40 bilion akan menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan swasta, seterusnya KDNK.

Malah peningkatan KDNK dijangka melebihi jumlah itu melalui kesan pengganda.

Perlu diingat dasar ini turut mempunyai kos dalam bentuk kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi, terutama untuk jangka panjang.

Ini terutamanya melalui saluran pelaburan. Jumlah pengeluaran KWSP sebanyak RM40 bilion itu juga bermakna potensi pelaburan sejumlah sama sudah terlepas.

Tanpa pengeluaran itu jumlah berkenaan berupaya untuk meningkatkan pengumpulan modal di dalam ekonomi.

Perbelanjaan modal atau pelaburan akan memberi kesan pertumbuhan ekonomi jangka panjang berbanding penggunaan swasta yang lebih menumpukan kepada pertumbuhan jangka pendek.

Pada masa sama, jika pengeluaran KWSP oleh pencarum dapat disalurkan kepada kegunaan yang mampu meningkatkan potensi ekonomi masa hadapan adalah mampu memberi manfaat yang lebih besar.

Mungkin untuk pencarum yang pendapatan mereka tidak terjejas, pengeluaran KWSP patut dihadkan untuk kegunaan yang memberi kesan berganda kepada ekonomi.

Umpamanya, untuk kegunaan latihan atau lain-lain aktiviti yang mampu meningkatkan produktiviti ekonomi.

Pengeluaran untuk perbelanjaan perlu dihadkan kepada mereka yang terjejas pendapatan kerana COVID-19.

Namun, kumpulan ini juga perlu diberi perhatian kerana mereka terpaksa membelanjakan pendapatan akan datang mereka.

Bermakna mereka terpaksa berkorban wang persaraan mereka untuk menolong menjana pertumbuhan ekonomi.

@ Penulis adalah Penganalisis Ekonomi

Berita Harian X