Isnin, 6 April 2020 | 11:00am
Pada pengumuman khas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk usahawan mikro yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan dan Bank Negara menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 billion yang merangkumi inisiatif utama. - Foto hiasan
Pada pengumuman khas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk usahawan mikro yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan dan Bank Negara menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 billion yang merangkumi inisiatif utama. - Foto hiasan

Manfaat moratorium perkukuh upaya tunai peribadi

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) memberi nafas lega kepada masyarakat yang terkesan secara langsung atau tidak terhadap penularan COVID-19.

Ia sewajarnya dimanfaatkan dalam memantapkan pengurusan kewangan peribadi, khususnya dalam merancang kewangan diri dan keluarga untuk tempoh jangka pendek ini.

Banyak penjimatan dan peningkatan dalam tabungan peribadi boleh dilakukan jika benar-benar memanfaatkan bantuan kewangan digariskan. Sebagai contoh, moratorium pinjaman, yang mana penangguhan bayaran pinjaman diberi untuk enam bulan.

Sewajarnya ia dinilai untuk diagihkan amaun pinjaman secara bijaksana, sama ada bagi perbelanjaan atau dijadikan simpanan kecemasan untuk enam bulan akan datang.

Kita tidak pasti apa akan berlaku selepas tempoh penangguhan diberikan Bank Negara Malaysia (BNM) ini. Justeru pengguna perlu berfikiran terbuka menguruskan kewangan peribadi.

Jangan leka dengan lebihan tunai dalam tangan. Bagi yang tidak mempunyai simpanan kecemasan, inilah masanya untuk bermula. Asingkan amaun ansuran bulanan hutang itu kepada simpanan kecemasan.

Kajian dijalankan BNM menunjukkan lebih 75 peratus rakyat negara ini berhadapan masalah menyediakan wang serendah RM1,000 pada masa kecemasan.

Justeru penting untuk pengguna sedar dan mengambil peluang diberikan melalui pakej PRIHATIN ini.

Yang amat membimbangkan apabila adanya lebihan tunai dan ditambah kemudahan pembelian secara dalam talian, menyebabkan segelintir sukar mengawal pembelian mereka.

Keputusan bijak perlu dilaksana supaya tidak berlaku lebihan perbelanjaan. Jika ada keperluan, sewajarnya ambil peluang untuk perbelanjaan yang boleh mendapat manfaat pelepasan cukai bagi 2020.

Kepada pengguna yang mampu menyumbang dan menderma kepada organisasi atau individu memerlukan, inilah peluang membantu golongan memerlukan, selain mendapat manfaat pelepasan cukai melalui sumbangan.

Kepada yang berminat berniaga dari rumah dan mungkin sebelum ini mempunyai halangan kewangan, mungkin boleh menggunakan sebahagian lebihan tunai sebagai modal permulaan perniagaan.

Sebagai contoh peniaga makanan yang terkesan akibat penularan wabak dan tidak dapat keluar berniaga, bolehlah meneruskan perniagaan dari rumah.

Ini juga boleh menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara dengan menjana semula pendapatan kepada keuntungan.

Kepada yang mendapat manfaat daripada pengeluaran wang melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ataupun Skim Persaraan Swasta (PRS), wajar membuat keputusan terbaik sama ada untuk mengekalkan simpanan atau membuat pengeluaran berdasarkan keperluan.

Jika diguna untuk perbelanjaan isi rumah, wajar difikirkan penjimatan di saat sukar ini.

Bagi yang terikat dengan hutang kad kredit, inilah masanya mengambil peluang melunaskan sebahagian atau keseluruhan hutang itu dengan menggunakan lebihan tunai diperoleh.

Ini secara tidak langsung meringankan beban hutang jangka pendek dihadapi.

Kesimpulannya, setiap pengguna perlu memanfaatkan bantuan kerajaan bagi memastikan kelangsungan hidup lebih sejahtera dan berkualiti.

Walaupun COVID-19 ini adalah krisis global dan menggambarkan ekonomi negara akan berdepan kemelesetan besar, namun kita tetap boleh membantu.

Caranya mudah, ambil langkah bijak dalam menguruskan kewangan peribadi supaya segala keputusan kewangan dan perbelanjaan lebih terancang dan mencapai matlamat kewangan ditetapkan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Berita Harian X