Isnin, 6 April 2020 | 5:24pm
Hari Kesihatan Sedunia disambut pada tahun ini ketika dunia dan semua petugas kesihatan seperti doktor dan jururawat berhempas-pulas membendung COVID-19. Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Hari Kesihatan Sedunia disambut pada tahun ini ketika dunia dan semua petugas kesihatan seperti doktor dan jururawat berhempas-pulas membendung COVID-19. Gambar hiasan. - Foto BERNAMA

Sanjung komitmen, keberanian petugas kesihatan hadapi COVID-19

HARI Kesihatan Sedunia tahun ini yang disambut pada 7 April jatuh pada masa suram ketika kita bergelut dengan pandemik yang paling teruk dalam masa 100 tahun.

Setiap hari membawa berita tragedi menyedihkan dan menyayat hati. Pada masa sama, krisis ini menunjukkan perasaan belas kasihan dan ketabahan profesional kesihatan kita serta kesanggupan berani mereka membuat pengorbanan bekerja untuk melindungi masyarakat kita.

Pada 2020, Hari Kesihatan Sedunia secara khusus memberi penghormatan dan meraikan mereka di barisan hadapan untuk memastikan kita kekal sihat dan selamat, khususnya jururawat.

Saya juga ingin memberi penghormatan kepada mereka dan komitmen mereka tanpa mementingkan diri untuk melindungi kita.

Semasa berada di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, saya menghabiskan masa seminggu di sebuah hospital yang menjaga orang yang saya sayangi (mujurlah bukan kerana COVID-19).

Kakitangan hospital sangat baik hati, bekerja keras dan berpengetahuan. Mereka membawa sentuhan profesional pada kerja mereka, walaupun perlu menjaga bilangan pesakit COVID-19 yang semakin meningkat dan menyedari keadaan semakin menjadi serius hari demi hari.

Saya kagum dengan komitmen mereka dan juga bimbangkan kesihatan serta keselamatan mereka. Wanita dan lelaki yang luar biasa ini mengingatkan saya mengenai jururawat yang hebat dan penyayang yang saya temui sepanjang masa saya di Malaysia.

Kedutaan AS mempunyai tradisi panjang dalam menyediakan sokongan, latihan dan bekalan kepada hospital-hospital Malaysia, terutama di Sabah dan Sarawak.

Sebagai Duta Besar, saya telah melawat kemudahan-kemudahan perubatan di seluruh negara dan sentiasa teruja dengan dedikasi serta komitmen profesional perubatan Malaysia. Terutamanya pada masa sekarang saya memikirkan mereka dan keluarga mereka serta beban yang sangat besar yang kita telah letakkan pada mereka dalam masa krisis ini.

Semasa saya mula bertugas, saya melawat Hospital Sibu di Universiti Segi, di mana Pusat Penyelidikan Tentera Laut-Asia AS membiayai kajian pengawasan virus pernafasan.

Projek bersama ini dijalankan dengan kerjasama Duke University dan kampus-kampus kembar Segi di Singapura dan China. Dengan bekerja bersama rakan kongsi Malaysia, program ini melatih profesional kesihatan awam tempatan untuk mengesan virus zoonotik baharu dan mengurangkan kesan pneumonia.

Pada Jun 2018, saya bertemu dengan Saraswathy Subramanian, yang baru-baru ini menamatkan kerjayanya 24 tahun ketika menjadi matron mengawasi 1,000 jururawat di Hospital Kuala Lipis di Pahang.

Beliau juga hebat dalam membesarkan tiga gadis yang cantik: seorang sekarang menjadi pegawai perubatan yang bekerja dalam pasukan COVID-19 di Hospital Segamat; seorang sedang belajar perubatan di Universiti Malaysia Sarawak; dan yang ketiga adalah wanita Malaysia pertama yang menghadiri akademi tentera AS.

Setiap tahun, Perkongsian Pasifik merupakan eksesais bantuan kemanusiaan dan kesiapsiagaan bencana yang terbesar di rantau ini. Pada 2018, eksesais ini menampilkan USNS Mercy, sebuah kapal hospital Tentera Laut AS yang tiba di Pelabuhan Klang untuk menjadi tuan rumah kepada latihan pertukaran perubatan dan bantuan bencana antara anggota kesiapsiagaan kecemasan AS dan Malaysia.

Hari ini, Mercy berada di dermaga di Los Angeles, dan kru kapal kini merawat pesakit bukan COVID-19 dan membolehkan hospital-hospital di Los Angeles untuk memberi fokus kepada menangani pandemik.

Ketika Perkongsian Pasifik kembali pada tahun 2019, latihan itu membabitkan lebih 300 anggota dari Malaysia dan AS serta menampilkan puluhan pembabitan perubatan.

Saya melawat Hospital Umum Sarawak untuk melihat pertukaran pakar subjek antara Tentera Laut AS dan penyedia penjagaan kesihatan Malaysia yang bekerjasama serta berkongsi pandangan mengenai penjagaan kritikal dan pemeriksaan kecemasan.

Kita telah bersedia untuk bersama-sama menghadapi cabaran ini selama bertahun lamanya dan kita harus bersyukur kerana usaha kita telah membantu membina kedua-dua kemampuan Malaysia dan AS untuk bertindak balas terhadap pandemik COVID19.

Pandemik semasa ini memberi peringatan penting mengenai kepentingan kritikal kerjasama, bukan sahaja dalam komuniti kita, tetapi di seluruh dunia. Kita benar-benar bersama dalam perkara ini.

Tindak balas kita terhadap cabaran yang kita hadapi diperkuat oleh hubungan rapat kita, baik dalam latihan-latihan pada masa lalu, mahu pun dalam kerjasama aktif kita hari ini untuk memerangi ancaman pandemik.

Jururawat, doktor dan profesional kesihatan lain kita adalah wira-wira krisis ini. Begitu juga mereka yang menyokong usaha mereka - terutamanya keluarga dan orang tersayang.

Oleh itu, di seluruh dunia pada Hari Kesihatan Sedunia ini, kita menyanjung komitmen mereka, dan memberi penghormatan terhadap keberanian mereka.

Penulis ialah Duta Amerika Syarikat ke Malaysia

Berita Harian X