Rabu, 26 Julai 2017 | 6:00am

Kesejahteraan sejati wakaf pendidikan

PENULIS teruja dengan kisah pelajar di sebuah institusi pendidikan tinggi yang hanya makan nasi putih dengan kuah. Pelbagai reaksi diberikan orang ramai. Ada rasa kasihan.

Ada pula bertanya tindakan diambil pihak universiti. Ada juga cuba membantu dengan menyarankan pelbagai bentuk bantuan seperti makanan dan sebagainya.

Kepemimpinan universiti pula menyalurkan bantuan seadanya. Ada universiti menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi membantu pelajar dapat belajar dengan sempurna. Pada era pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah di Turki, dikatakan wakaf bermula dari pemerintah yang kedua Orhan Gazi (1326-1362M). Sehinggakan mereka menyerahkan bandar Makaja dengan semua hasilnya untuk maksud wakaf pada 1324 Masehi.

Ahli sufi, orang miskin dan musafir miskin mendapat manfaat hasil wakaf, mendapat makanan dan tempat tinggal tanpa sebarang bayaran. Pemerintah juga memperkenalkan dapur umum pada 1208M yang dibiayai hasil cukai dan dana wakaf. Mereka juga meletakkan makanan di tempat tertentu supaya boleh dimakan burung. Malah, orang miskin boleh ambil makanan di tempat tertentu pada waktu malam bagi mengelak dilihat orang.

Alangkah baiknya jika amalan serupa boleh dilaksanakan untuk bantu pelajar kita yang memerlukan. Ramai peniaga Grand Bazar di Istanbul yang mewakafkan sebahagian pendapatan setiap bulan dalam bentuk wakaf. Mereka mewakafkan hampir sepertiga daripada keuntungan perniagaan yang diperoleh.

Benarlah, apabila bersedekah, keuntungan akan berlipat kali ganda. Grand Bazar (disebut Kapali Carsi adalah pusat beli-belah terbesar dengan lebih 4,000 gerai dan tertua di dunia) di Istanbul yang dibina pada 1455M, oleh Sultan Mehmet II dan dikunjungi hampir sejuta pelanggan sehari.

Sedekah makanan

Kisah seorang tua pewakaf menyediakan makanan percuma di Turki sangat menarik perhatian. Beliau beri makanan percuma kepada orang ramai di sebuah restoran sambil memerhatikan gelagat mereka menikmati makanan. Tanpa disedari makanan disediakan adalah daripada seorang tua yang kelihatan miskin. Di negara kita, agihan bubur lambuk ketika Ramadan boleh dijadikan bantuan makanan berterusan bukan sekadar pada bulan puasa. Dilaporkan makanan dibazirkan di negara kita bertan-tan jumlahnya setiap hari.

Baru-baru ini dilaporkan seorang wanita mewakafkan barangan kemas bernilai RM47,000 dan seorang peniaga di Johor mewakafkan sekilogram jongkong emas (RM100,000). Manfaat wakaf ini perlu disumbang dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Di Universiti Tun Hussein Onn, pelajar diberi makanan percuma melalui Skim Tabung Wang Ehsan (sara hidup dan wang pengajian), Skim Sabil Al-hikmat dan sebagainya yang dijalankan sejak sekian lama.

Manfaat wakaf tunai

Di Universiti Putra Malaysia, kutipan sedekah dan dana wakaf disalurkan untuk bantu pelajar miskin membeli keperluan diri dan keluarga. Sehinggakan botol susu anak juga disedekahkan. Begitu juga dengan buku, peralatan menulis, biasiswa, bantuan kepada pelajar mualaf, bantuan kewangan untuk menulis, membayar yuran pengajian dan menyiapkan tesis dan sebagainya.

Penulis bertemu seorang pelajar dari Nigeria, baru-baru ini. Pelajar tahun akhir yang sedang menyiapkan penyelidikan ijazah kedoktorannya, menghadapi masalah kewangan setelah harga minyak jatuh baru-baru ini. Kebergantungan Kerajaan Nigeria pada harga minyak menyebabkan nilai kewangan biasiswa pelajar mereka menjadi lebih rendah hampir separuh. Perkara serupa terjadi kepada pelajar kita di luar negara. Sudah tentu, tekanan kewangan mempengaruhi prestasi mereka dalam pelajaran.

Pada masa sama, kita sangat berbangga apabila saranan Kementerian Pendidikan Tinggi kepada universiti awam (UA) menubuhkan Dana Wakaf Pendidikan Tinggi membuahkan hasil membanggakan. Sejak akhir 2016, beberapa universiti awam mengumpul RM20 juta wakaf tunai.

Universiti Tun Hussein Onn mengumpul wakaf tunai hampir RM200,000 hanya selama dua bulan. Jumlah wakaf tunai melalui potongan gaji pekerja sudah cecah hampir RM15,000 setiap bulan. Manfaat wakaf tunai boleh digunakan untuk bantu bukan sahaja pelajar beragama Islam, malah juga pelajar bukan Islam. Bukan sahaja pelajar tempatan malah juga pelajar luar negara.

Begitupun, ada cadangan untuk mengagihkan manfaat wakaf tunai kepada pemegang kursi di universiti bagi menjalankan penyelidikan dan sebagainya. Walaupun tiada halangan untuk agihan itu dijalankan, bukanlah keutamaan disebabkan keperluan mendesak untuk membantu pelajar. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah menyarankan bantuan daripada endowmen atau filantropi diberi keutamaan kepada pelajar miskin untuk sambung pengajian tinggi mereka. Perkara ini tercatat di bawah Artikel 26 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat PBB.

Pada satu seminar filantropi dan wakaf pendidikan tinggi di Melaka anjuran Universiti Teknologi MARA, baru-baru ini, penulis menyatakan, antara kejayaan universiti tertua di dunia, iaitu Universiti Al-Azhar di Mesir (ditubuhkan pada 972M) adalah kerana mereka beri keutamaan kepada filantropi yang banyak bantu pelajar miskin tanpa sebarang yuran pengajian.

Justeru, agihan dana tabung wakaf perlu dibuat dengan sewajarnya. Lebih penting, agihan mesti patuh syariah. Beri keutamaan kepada penerima mauquf alaih yang benar-benar memerlukannya. Apabila pelajar yang perlukan bantuan kewangan dana wakaf tunai ini berjaya suatu masa nanti, mereka pula akan sumbang kepada dana berkenaan. Begitulah seterusnya.

Akhirnya, terbentuk ekosistem wakaf yang unggul. Sesungguhnya orang ramai ingin melihat apa yang kita lakukan. Bukan hanya mendengar apa yang kita hendak lakukan semata-mata. Itulah kesejahteraan sejati.

Penulis:Ketua Projek Pelestarian Pendidikan Tinggi Melalui Wakaf tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi dan dilantik sebagai pakar wakaf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X