Jumaat, 3 April 2020 | 10:54am
ANGGOTA Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyembur pembasmi kuman di sekitar Jalan Masjid India susulan langkah Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Kedua akibat virus Covid 19. NSTP/Eizairi Shamsudin
ANGGOTA Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyembur pembasmi kuman di sekitar Jalan Masjid India susulan langkah Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Kedua akibat virus Covid 19. NSTP/Eizairi Shamsudin

PKP berteras undang-undang kesihatan awam, bukan darurat

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung COVID-19 mengundang banyak polemik. Walaupun ia demi kelangsungan nyawa dan kesihatan rakyat, tidak semua menjayakannya. Masih ada yang dangkal atau keliru, malah mencipta telahan rambang.

Antara salah tanggapan adalah ia bermakna negara dalam daru- rat dan tertakluk kepada undang-undang darurat. Ia muncul mungkin kerana penafsiran literal terhadap ungkapan pemimpin dunia seperti Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang merumuskan dunia dalam ‘peperangan’ terhadap COVID-19.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut menyifatkannya sebagai ‘Presiden Masa Peperangan’. Metafora ‘peperangan’ disensasikan dengan pembabitan ‘jentera’ ketenteraan dalam penguatkuasaan kawalan pergerakan di negara ini.

Benar, penularan COVID-19 memang mencetuskan suasana mengancam kesihatan dan keselamatan awam, bahkan mencakupi istilah ‘kejadian bencana’ di bawah Perkara 4 Arahan No 20 Majlis Keselamatan Negara: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana.

Namun, usahlah gusar kerana tiada sebarang pengisytiharan darurat rentetan penularan COVID-19 direncanakan setakat ini.

Perlu diperjelaskan PKP tidak boleh dilabelkan sebagai undang-undang darurat sinonim dengan regulasi ketenteraan. Sebaliknya, ia strategi pengawalan substantif berteraskan prinsip dan undang-undang kesihatan awam.

Undang-undang itu ialah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 ditunjangi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Darurat bukan senang diisytiharkan setiap kali negara berhadapan situasi kritikal. Selain persoalan justifikasi daripada lensa demokrasi, pengisytiharan itu perlu mengharungi kompleksiti perundangan dan natijah politik, ekonomi serta sosial.

Penggunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula 22 Mac lalu, hanya bertujuan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengimplementasikan PKP.

Seperti polis, tentera mempunyai autoriti berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, memastikan penduduk mematuhi perintah pengawalan itu.

Seksyen 5 membenarkan Kementerian Kesihatan selaku pihak berautoriti, mendapatkan bantuan mana-mana agensi kerajaan bagi mengawal atau menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan digubal mengikut akta berkenaan.

Sebagai agensi kerajaan berorientasikan Perlembagaan Persekutuan, Akta Polis 1967 dan Akta Angkatan Tentera 1972, polis serta tentera tidak dapat dipisahkan daripada peranan serta kewajipan mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan negara.

Di samping polis, keupayaan jentera ketenteraan merangkumi tentera darat, tentera udara dan tentera laut perlu dimobilisasikan bagi mendepani kemelut pandemik seperti ketika tanah air dilanda banjir dan jerebu.

Segenap spektrum ketenteraan meliputi logistik, prasarana, perubatan, perisikan dan komunikasi boleh dimanfaatkan bagi memperkasakan usaha Kementerian Kesihatan untuk mengawal dan mencegah penularan COVID-19.

Namun, tentera masih mempunyai kuasa terhad dalam tempoh PKP. Ini selaras Seksyen 5 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, tentera hanya dikehendaki ‘membantu’ Kementerian Kesihatan yang sebenarnya memiliki kuasa total terhadap penguatkuasaan akta seperti diperuntukkan Seksyen 3.

Selagi ‘darurat keselamatan’ belum diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong selari keperluan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, tentera tidak memperoleh kuasa tuntas bagi mengambil alih pentadbiran serta melaksanakan undang-undang ketenteraan.

Oleh itu, masyarakat perlu menghindari prasangka menyimpang. Jangan diburukkan episod getir tanah air dengan dakyah yang tidak berpaut kepada kebenaran.

Selain itu, ‘darurat bencana’ atau ‘kawasan keselamatan bagi bencana’ belum diisytiharkan Perdana Menteri sejajar kehendak Seksyen 18 Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 dan Perkara 25 Arahan No 20 Majlis Keselamatan Negara: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana.

Oleh itu, tentera masih tidak mempunyai kuasa Pasukan Keselamatan diperuntukkan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 seperti menangkap, menyita dan menggeledah sesuatu premis.

Rumusannya, tiada bukti perundangan darurat tidak diaplikasikan bagi menghadapi COVID-19. Pendekatan berasaskan undang-undang kesihatan awam yang diamalkan patut dipuji kerana kesesuaiannya.

Oleh itu, masyarakat perlu menghindari prasangka menyimpang. Jangan diburukkan episod getir tanah air dengan dakyah yang tidak berpaut kepada kebenaran.

Perkukuhkan sokongan dan kepatuhan kepada pasukan seragam ‘biru hitam’ dan ‘celoreng hijau’ sebagai pemangkin perjuangan negara membendung penularan COVID-19.

Pada masa sama, polis dan tentera perlu seiring dalam menggalas tanggungjawab di samping menjamin perlindungan hak rakyat seperti digariskan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang yang berkuat kuasa dan falsafah hak asasi manusia.

Timbalan Penasihat Undang-Undang dan Pensyarah Kanan Undang-Undang di Universiti Utara Malaysia (UUM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X