Rabu, 8 April 2020 | 11:03am
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA

Pakej PRIHATIN langkah serampang dua mata

Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIIHATIN) secara umum bertujuan membantu pelbagai pihak yang terjejas akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada peringkat awal, kita mengetahui COVID-19 melanda China, langkah berjaga-jaga diambil memberi peluang perniagaan kepada pengeluar peralatan kebersihan seperti topeng muka (facemask) dan cecair pembasmi kuman (sanitizer).

Namun, kesan negatif COVID-19 lebih besar. Sejak awal tahun ini, jumlah kedatangan pelancong luar dan dalam negara berkurang. Industri hotel, pemilik produk pelancongan dan agensi berkaitan pelancongan berhadapan kemerosotan jumlah pelanggan dan jualan.

Selain itu, pengusaha kecil yang menyokong industri pelancongan seperti pengusaha kraftangan, pemilik inap desa dan pengusaha beca turut terkesan.

Apabila PKP mula dilaksanakan, lebih banyak aktiviti harian tidak dapat dilaksanakan. Bagi mereka yang menerima gaji bulanan, terutama penjawat awam, mungkin kesannya tidak ketara.

Namun, bagi yang sumber ekonomi daripada aktiviti perniagaan, PKP menjejaskan aliran tunai mereka. Selain tidak dapat beroperasi yang bermakna tiada aliran wang masuk, mereka masih perlu melunaskan sewa premis, gaji pekerja dan ansuran bulanan aset.

Walaupun wujud suasana baharu, iaitu bekerja dari rumah dan peningkatan pembelian dalam talian, ia bukan sesuai untuk semua aktiviti dan mungkin masih banyak kekangan untuk berjalan lancar.

Justeru, ramai menarik nafas lega apabila Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) diumumkan 27 Mac lalu dan Pakej PRIHATIN PKS Tambahan, kelmarin.

Pegusaha jahitan menyiapkan tempahan pelanggan di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa mereka menutup operasi kedai dan memberi cuti kepada pekerja. - Foto BERNAMA
Pegusaha jahitan menyiapkan tempahan pelanggan di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa mereka menutup operasi kedai dan memberi cuti kepada pekerja. - Foto BERNAMA

Selain, membantu rakyat yang terjejas dalam jangka pendek, dari sudut ekonomi, pakej ekonomi itu sebenarnya berbentuk persediaan jangka panjang.

Umumnya, kemelesetan ekonomi akan berlaku setiap 10 tahun secara teori dengan kemelesetan ekonomi global sebelum ini berlaku pada 2009.

Cuma, dengan penularan COVID-19 di seluruh dunia, ia akan menyebabkan kemelesetan lebih teruk daripada jangkaan asal.

Oleh itu, apa yang kerajaan lakukan sekarang ini, iaitu melaksanakan pakej rangsangan ekonomi adalah langkah serampang dua mata; penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang serentak.

Adanya bantuan PRIHATIN Nasional, elaun khas, bantuan pelajar IPT, pengecualian sewa, penangguhan bayaran balik pinjaman, diskaun bil dan potongan cukai tambahan misalnya, akan meningkatkan jumlah wang di tangan rakyat.

Tambahan perbelanjaan kerajaan dari aspek dasar fiskal ini akan meningkatkan kuasa beli pengguna dan bertambah permintaan terhadap produk serta perkhidmatan dalam pasaran.

Dasar fiskal turut membabitkan pengurangan cukai yang dikutip oleh kerajaan apabila setiap penyedia skim persaraan swasta tidak dikenakan cukai selama 9 bulan.

Dengan jangkaan kemelesetan ekonomi ini, ditambah penularan COVID-19 dan pelaksanaan PKP yang menjejaskan pendapatan rakyat, tambahan wang di tangan masyarakat akan kembali merancakkan pengeluaran dan produktiviti, sekali gus pendapatan negara akan kembali meningkat.

Seterusnya, mungkin ada syarikat atau perniagaan kecil yang terpaksa memberhentikan pekerja kerana kelangsungan organisasi turut terjejas.

Dengan peningkatan permintaan kerana lebih kuasa beli pengguna, tambahan pelaburan kerajaan untuk meningkatkan liputan telekomunikasi dan penyediaan infrastruktur tambahan akan memerlukan lebih ramai pekerja.

Justeru, masalah pengangguran mungkin bersifat sementara sahaja apabila pekerja diperlukan untuk menghasilkan barang dan produk yang diminta pengguna.

Dalam membendung masalah COVID-19 dan ekonomi negara yang dijangka meleset, kerajaan turut melaksanakan dasar kewangan. Tempoh enam bulan moratorium yang menangguhkan bayaran pinjaman bank memberi ruang peminjam menyusun semula keperluan kewangan mereka.

Tidak terkecuali dalam dasar kewangan ini adalah hampir semua institusi perbankan menawarkan kadar pinjaman yang lebih rendah, malah ada yang berkadar sifar.

Selain mempunyai tambahan wang di tangan yang turut meningkatkan kuasa beli pengguna, syarikat dan pengusaha perniagaan boleh menggunakan lebihan wang mereka untuk membayar hutang, membuat simpanan mahupun sebagai modal untuk merancakkan semula aktiviti perniagaan masing-masing.

Kesimpulannya, dasar kerajaan dalam mengimbangi keperluan semasa dan persediaan menghadapi kemelesetan ekonomi negara, sangat penting.

Dasar yang kerajaan lakukan, jika terlaksana seperti dirancang akan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara. Isu COVID-19 yang melanda negara bukan sahaja mengancam kesihatan, keselamatan dan nyawa, malah ketika kemelesetan dijangka berlaku, kerajaan berperanan besar untuk membawa negara keluar daripada krisis ekonomi.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Melaka

Berita Harian X