Rabu, 8 April 2020 | 11:04am
Peniaga menunggu pelanggan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pasar Payang. - NSTP/Ghazali Kori
Peniaga menunggu pelanggan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pasar Payang. - NSTP/Ghazali Kori

Tambahan RM10 bilion beri peluang PKS terus operasi

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) PKS Tambahan yang dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin membuktikan kepekaan pemerintah.

Kerajaan memberi tindak balas pantas terhadap cabaran semasa yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mendepani impak ekonomi ekoran penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Tambahan peruntukan RM10 bilion dilihat mengambil kira input daripada persatuan perniagaan yang prihatin terhadap kebajikan ahli dan pekerja mereka.

Perhatian yang khusus ini amat diperlukan kerana sektor PKS menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), secara keseluruhannya.

Inisiatif yang dibentangkan Perdana Menteri itu, didapati mengambil kira kapasiti pengeluaran PKS berdasarkan jumlah tenaga buruh yang bekerja dalam sesebuah syarikat.

Syarikat kecil yang mempunyai pekerja kurang lima mungkin mempunyai hasil pengeluaran lebih kecil.

Justeru, impak COVID-19 lebih dirasai syarikat kecil ini akibat aktiviti pengeluaran terjejas, berbanding syarikat bersaiz sederhana.

Maka, program subsidi upah yang berasaskan tingkatan jumlah tenaga buruh adalah langkah baik bagi meringankan beban kos pekerja yang ditanggung PKS.

Fokus pakej tambahan ini adalah konsisten seperti pakej terdahulu, iaitu mengurangkan impak aliran tunai PKS dan membantu penjimatan kos input meliputi aspek kos buruh, kos utiliti serta kos sewaan.

Selain itu, penekanan aspek daya maju dan kelangsungan aktiviti perniagaan masih menjadi perhatian yang khusus, terutama untuk usahawan mikro.

Skim Kredit Mikro yang diberikan pelepasan sepenuhnya daripada kadar faedah dan Geran Khas Usahawan Mikro sebanyak RM3,000 menunjukkan kerajaan komited untuk membantu lebih 700,000 usahawan mikro untuk kekal berdaya maju bagi menjalankan perniagaan mereka terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Sememangnya, bantuan ini adalah wajar kerana usahawan mikro dan kecil menyumbang sekitar 15 peratus kepada KDNK, sekali gus turut menggunakan hampir 50 peratus jumlah guna tenaga di negara ini.

Selain itu, analogi yang diberikan Perdana Menteri berkaitan aspek penjimatan dan peluang akses bantuan perniagaan kepada PKS adalah mesej jelas yang boleh difahami oleh semua rakyat, terutama PKS.

Justeru, peluang yang ada perlu dimanfaatkan PKS bagi meneruskan aktiviti perniagaan mereka dan terus menyumbang kepada ekonomi negara.

Penulis adalah Pensyarah Kanan sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM

Berita Harian X