Khamis, 9 April 2020 | 10:12am
Lelaki memakai topeng muka dan hidung berjalan di kawasan Wuhan selepas bebas daripada virus COVID-19. - Foto AFP
Lelaki memakai topeng muka dan hidung berjalan di kawasan Wuhan selepas bebas daripada virus COVID-19. - Foto AFP

Virus perkauman lebih bahaya

Manusia mempunyai naluri untuk mempertahan diri daripada ancaman bahaya. Pandemik COVID-19 membuktikan daya tahan manusia bagi memastikan kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, ia bukan alasan untuk mendiskriminasi golongan tertentu dengan persepsi songsang bahawa mereka adalah ‘punca dan penyebab’ virus ini.

Ucapan kebencian berkaitan COVID-19 mula digunakan terhadap warganegara China. Pada mulanya, virus ini dianggap sebagai ‘virus Cina’ dan istilah ini digunakan meluas, termasuk oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Kemungkinan besar, penggunaan istilah ini oleh seseorang yang begitu berpengaruh memburukkan lagi keadaan.

Pengaruh media juga menyumbang peningkatan stigma terhadap warga China melalui penerbitan pernyataan berbaur perkauman.

Sebagai contoh, Sky News Asia menerbitkan video bertajuk China Willfully Inflicted Coronavirus upon the World’ yang mencetus ucapan kebencian dalam kalangan netizen.

Akhirnya, bangsa Cina di seluruh dunia menjadi mangsa. Ini disokong data yang menunjukkan kenaikan sehingga 900 peratus dalam penggunaan ucapan berbaur kebencian terhadap negara China dan bangsa Cina secara amnya.

Mungkin kita tidak memikirkan kesan penggunaan ucapan kebencian, tetapi impaknya sangat besar. Data juga menunjukkan peningkatan jumlah pelawat laman web yang berbaur kebencian terhadap kaum sebanyak 200 peratus.

Kini, sesiapa sahaja kelihatan seperti berketurunan Asia akan dipandang penuh kebencian dan penghinaan.

Persepsi bahawa ada golongan tertentu sebagai penyebab penularan virus ini membawa kepada kehilangan pekerjaan, penafian memperoleh keperluan asas seperti perkhidmatan kesihatan, dan lain-lain.

Lebih malang, ada kes ekstrem membabitkan keganasan, seperti berlaku kepada pelajar Singapura berketurunan Cina yang sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom.

Beliau didakwa ditendang dan ditumbuk penyerangnya yang menyatakan, we do not want your coronavirus in our country.

Ini bukan insiden terpencil, kerana portal media di seluruh dunia turut melaporkan kenaikan dalam penggunaan ucapan dan jenayah kebencian terhadap orang Asia.

Pada masa ini, perasaan takut dan paranoia dipanjangkan kepada kumpulan lain pula. Sebagai contoh, penganut Islam menjadi sasaran kebencian terbaru kerana dikaitkan dengan golongan tabligh yang dianggap ‘bertanggungjawab’ menyebarkan virus dalam satu komuniti, selepas menghadiri majlis keagamaan.

Tanda pagar popular seperti #chinesevirus dan #communistvirus digantikan pula dengan #coronajihadi, yang digunakan hampir 300,000 kali di Twitter dan dilihat oleh 165 juta orang.

Keadaan di Malaysia dan menunjukkan bahawa penganut Islam secara amnya dikecam, dibenci dan ada antara mereka dipulaukan.

Sebaliknya, reaksi berbeza dilihat di negara Barat tertentu, apabila konsert dan maraton masih dijalankan tanpa dikecam seperti terpaksa dialami bangsa Cina dan golongan tabligh.

Tidak dinafikan ada pihak mengkritik tindakan penganjur kerana tidak membatalkan program itu, tetapi tidak membawa kepada kebencian atas dasar kaum atau agama seseorang.

Ini tidak bermaksud golongan tertentu yang didapati terdedah kepada COVID-19 mempunyai justifikasi untuk tidak hadir ke hospital bagi tujuan saringan. Melakukan saringan COVID-19 adalah tanggungjawab moral dan sosial yang tidak boleh dipandang enteng.

Kepercayaan keagamaan bukan alasan melanggar panduan keselamatan ditetapkan pihak berkuasa yang dirangka untuk menjaga keselamatan kita.

Kita mempunyai hak untuk mempertahan diri dan setiap negara perlu mengambil langkah bagi membendung wabak daripada terus merebak.

Akan tetapi, sikap menyalahkan mana-mana golongan atas kepercayaan bahawa mereka bertanggungjawab dalam penyebaran virus ini hanya akan mengeruhkan lagi hubungan antara kaum dan agama.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kluster terbaru berkait rapat persidangan keagamaan di sebuah gereja di Kuching. Adakah kita tidak mahu belajar daripada kesilapan sebelum ini akan dan terus menggunakan ucapan kebencian terhadap penganut Kristian pula?

Kita begitu cepat menuding jari dan mengecam orang lain yang membawa ‘bala’ ini. Kita tidak memikirkan kesan daripada pertuturan dan perbuatan kita yang menyakitkan hati.

Kita lupa, peperangan etnik dan pergolakan bermula daripada kebencian atas dasar perkauman dan keagamaan meragut berjuta nyawa di seluruh dunia dan kesannya mungkin jauh lebih berbahaya daripada virus COVID-19.

Vaksin untuk virus boleh dicari dengan izin-Nya, akan tetapi adakah wujud vaksin untuk mengubati kebencian dalam hati manusia?

Penulis adalah Pensyarah Kanan (Undang-undang Perlembagaan dan Hak Asasi Manusia) Fakulti Ekologi Manusia, UPM

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X